MIT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi jaminan bahawa pekerja yang menyertai program Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 ini tidak akan dibebani dengan kos tambahan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, vaksin akan diberi secara percuma dan majikan perlu menanggung kos pentadbiran proses vaksinasi dan tidak dibenarkan untuk memotong gaji pekerja bagi membiayai kos yang terlibat.

Jaminan itu diberikan selepas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kesatuan sekerja lain menyatakan keprihatinan terhadap pelaksanaan Pikas oleh pemain industri, terutamanya berkaitan kos yang terlibat dalam proses vaksinasi tersebut.

Program Pikas Covid-19 diumumkan pada 12 Jun lalu akan dilancarkan di Selangor hari ini dan bakal disaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain dari Selangor, vaksinasi untuk sektor pembuatan juga akan dimulakan di Pulau Pinang dan Johor secara serentak yang akan memberi tumpuan kepada subsektor
pembuatan yang kritikal.

Program Pikas dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membantu mempercepat vaksinasi bagi rakyat khususnya pekerja, untuk mencapai imuniti kelompok di kalangan masyarakat.

Ini amat penting dalam melindungi pekerja daripada risiko jangkitan Covid-19 kerana keselamatan mereka dapat memastikan ekonomi kembali cerdas dan terus berdaya tahan.

Mohamed Azmin juga menyatakan kerajaan akan meningkatkan kadar vaksinasi pada bulan Jun, Julai dan Ogos dengan menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai di Lembah Klang dan Putrajaya pada tahap ini.

Beliau turut menggesa para majikan menggalakkan para pekerja menyertai program PIKAS ini, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast