KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengharapkan perbincangan khas Majlis Raja-Raja Melayu petang ini menghasilkan kegembiraan untuk rakyat jelatan.
Pada masa sama, Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali juga berharap, raja dan sultan turut membincangkan persidangan parlimen, selain agenda utama berkaitan pandemik Covid-19 dan keberkesanan darurat.
“Malah, sekarang pun parlimen boleh bersidang kerana baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan, tetapi tidak dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita gesa kerajaan agar Dewan Rakyat bersidang segera dan semoga perjumpaan Raja-Raja Melayu petang ini menghasilkan kegembiraan untuk rakyat jelata. Keputusan yang akan dilihat sebagai raja berdaulat, rakyat berkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Munyiddin, dalam perutusan khas mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat semalam, dilaporkan berkata, sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga PKP, iaitu pada September atau Oktober dengan SOP ketat.
Perdana Menteri itu berkata, ini adalah pendiriannya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai iaitu setelah kes Covid-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti berkelompok.
Mengulas pengumuman itu, Dr. Ibrahim berkata, pelan itu ibarat tali hayat Perikatan Nasional (PN) untuk mengekalkan Proklamasi Darurat dan mempunyai strategi tertentu apabila diumumkan sehari sebelum perjumpaan khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan jam 2.30 petang ini di Istana Negara.
Katanya, darurat sepatutnya tamat pada 1 Ogos ini, tetapi kenapa pula parlimen dijangka bersidang September atau Oktober?
“Sepatutnya awal September Parlimen sudah boleh bersidang. Rakyat tidak bodoh untuk berfikir mainan licik politik yang mempersendakan sistem Demokrasi Berparlimen ini.
“Kalau dahan sudah rapuh, buat macam mana pun akan tetap patah, waima ikat dengan tali rafia sekalipun,” katanya.
Beliau berkata, mungkin benar ada yang mendakwa darurat kekal dan mahu dilanjutkan kerana mahu bergayut pada kuasa sebab hilang majoriti.
Namun, tegasnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hilang jawatan dengan satu undi sahaja.
Bagaimanapun, apabila seseorang itu kekal berkuasa di bawah darurat, banyak keputusan boleh dibuat tanpa semak dan imbang dan nyahkan semua prosedur.
“Bagi Putra, kita tidak mahu memberi apa-apa reaksi atau ulasan terhadap rancangan pelan pemulihan yang diumumkan semalam. Putra hanya mahu tunggu dan lihat keberkesanannya sahaja.
“Kita tidak mahu budaya belum apa-apa sudah puji melangit, sedangkan hasilnya belum ada. Atau mengecam secara tiba-tiba tanpa memberi peluang kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Kerana yang selalu dikatakan ‘good policy’, akan berakhir dengan kegagalan demi kegagalan. Sudah banyak ianya terbukti. Keupayaan pelaksanaan adalah terburuk di Malaysia,” katanya.
Beliau memberi contoh, program imunisasi yang kelam-kabut dan pencapaiannya agak teruk, sedangkan kerajaan sudah berbelanja berpuluh juta duit rakyat. – MalaysiaGazette