Raja-Raja Melayu simbol perpaduan masyarakat. Gamabr hiasan

PADA 13 Jun 2021 lepas saya dijemput menjadi panelis Forum Raja Berperlembagaan Tiang Negara bersama-sama Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) dan Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi (Universiti Malaya) anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan.

Perbincangan amat menarik kerana panel yang berautoriti dan berpengalaman selain maudhuk ini sudah menjadi agenda utama yang diletakkan di papan pemuka MBM semenjak dua tahun lepas khususnya fasa pemerintahan Malaysia Baharu.

Refleksi kepada persoalan yang dilontarkan kepada saya sebagai panelis ketiga, anak muda dan pertubuhan masyarakat madani sememangnya mempunyai peranan yang signifikan untuk menyemai kefahaman dan mempertahankan Institusi Raja Berperlembagaan.

Persoalan dan permasalahan ini harus ditangani daripada perspektif ilmu dan kefahaman terhadap konsep dan falsafah tersurat dan tersirat di sebalik institusi raja. Sudah menjadi hukum alam untuk mencapai tahap mempertahankan maka ia harus dimulakan dengan tahap kefahaman dan kecintaan terlebih dahulu. Apabila anak muda memiliki ilmu dan faham akan konsep kepentingan institusi ini maka akan menelurkan kecintaan, kesetiaan bahkan pengorbanan untuk mempertahankan institusi secara sukarela tanpa perlu disorong-sorong.

Kefahaman tentang konsep raja bukanlah baharu namun ia telah lama wujud semenjak zaman dahulu kala sejak zaman Bani Israel sewaktu pemerintahan Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan Talut. Zaman peradaban Islam juga telah muncul sistem beraja sewaktu zaman Saidina Mu’awiyah r.a. dan sistem ini terus wujud sehinga kini. Malaysia merupakan antara 40 buah negara yang masih mengamalkan sistem beraja dan kekal menjadi unsur tradisi yang penting yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Dalam kitab masyhur karangan Imam al-Gazhali iaitu at-Tibrul Masbuk fi Nasihatul al-Muluk menyebutkan bahawa Sultan merupakan bayangan Allah Taala di muka bumi. Menjadi kewajipan Sultan menegakkan keadilan, orang alim menasihati Sultan dan rakyat mengasihi dan mentaatinya. Ini merupakan hubungan kesalingan yang tabii mendokong pengukuhan institusi raja. Ia bersifat kesalingan bottom-up dan top-down. Wajar juga anak muda menggali khazanah-khazanah ilmu tinggalan ulama silam bagi memperkayakan ilmu dan kefahaman tentang maudhuk ini termasuk kitab dalam tradisi nusantara seperti Thamarat al-Muhimmah karangan Raja Ali Haji yang mengupas ilmu ketatanegaraan Melayu.

Sebagai pemimpin di atas, dalam mendidik anak muda, perlukan kesabaran, simpati dan juga memahami cara mereka berfikir dan bertindak. Ternyata generasi Y dan Z yang ada sekarang ini perlu disantuni dan difahami terlebih dahulu sebelum kita mencari formula terbaik dalam mendidik mereka memahami, menghargai dan mempertahankan institusi raja. Secara fitrahnya anak muda adalah bersifat idealis dan suka mempersoalkan sesuatu. Generasi ini juga lahir dalam lingkungan persekitaran digital yang serba sedikit melunturkan kemahiran insaniah dan deria umum atau common sense mereka. Maka anak muda perlu difahami, disantuni dan dibimbing serta dicari formula terbaik bagi mendidik mereka untuk memandang penting institusi raja ini.

Sering juga kita terdengar darah anak muda mengkritik institusi ini namun mereka perlu membezakan antara personaliti dan institusi. Rakyat sememangnya bebas mengkritik dan memberikan saranan namun perlu beradab dan menggunakan saluran yang betul serta paling penting ada hudud sempadannya. Jangan terus menghukum anak muda ini namun perlu diberikan simpati dan difahami konteks mereka. Jika pun ternyata mereka bersalah, hukuman haruslah bersifat mendidik dan mencegah.

Dalam masa yang sama perlu dipertegaskan bahawa personaliti dalam institusi raja juga perlu menjaga penampilan dan akhlak agar tidak mendedahkan diri daripada ditohmah sekaligus menjaga nama baik dan kedaulatan institusi. Apatah lagi dalam dunia media sosial ini, keterdedahan itu kadang-kadang lebih bahaya. Kadang-kadang tidak salah merapati rakyat melalui media sosial namun sekali lagi pasti ada hudud sempadan bagi memelihara status dan prestij institusi raja ini.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sentiasa memandang institusi ini penting sebagai mekanisme semak dan imbang kepada pemimpin politik bagi menghalang kediktatoran. Kepentingannya jelas terzahir dengan keadaan semasa huru-hara politik yang dicetuskan oleh mereka yang berkepentingan dan cuba menangguk di air yang keroh sehingga tidak mempedulikan nasib rakyat yang sedang berhempas pulas berhadapan Covid-19, kemelesetan ekonomi dan sosial. Huru-hara politik menambahkan lagi derita belia dan rakyat.

MBM sebenarnya sudah pun mengorak langkah mendekati dan cuba menjambatani institusi raja yang dilihat oleh anak muda sebagai agak elit dan jauh daripada mereka. Terdapat beberapa kali percubaan MBM menghadap KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong namun disebabkan Covid-19 ia tergendala.

MBM juga menyambut baik inisiatif Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) melantik raja muda mereka sebagai penaung diraja. Bukan sekadar simbol naungan kedua-dua raja muda tersebut, kedua-dua baginda memang turun ke akar umbi menyantuni belia. Tengku Mahkota Johor (TMJ) sebagai misalan, amat prihatin dengan kegerhanaan yang terpaksa dialami MBM dan gerakan belia suatu ketika dahulu dengan menyediakan payung iaitu Kongres Belia bagi membahaskan secara terbuka quo vadis gerakan belia yang dipandang sepi oleh pihak Kerajaan ketika itu. Ternyata ia amat jelas memberikan perimbangan dan naungan merentas kefahaman politik kepartian kepada MBM dan seluruh gerakan belia tanahair. Ini merupakan suatu sejarah besar dan membuka dimensi baharu dalam dunia gerakan belia. MBM bahkan telah mencadangkan untuk memperkukuhkan hubungan gerakan belia dengan institusi raja muda kepada TMJ dan ianya disambut baik dengan penuh sporting.

MBM juga merapati institusi raja di Perlis dengan berpartisipasi dalam Seminar Institusi Raja (SIRAJ VI) 2019. Peluang berwacana di hadapan Raja dan Raja Muda Perlis dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan pandangan dan kritikan kepada institusi raja namun dalam mode yang beradab dan ilmiah. Ia akhirnya menghasilkan suatu natijah yang baik dengan cadangan penganjuran Konvensyen Belia Perlis dan kerjasama program pembangunan usahawan belia namun dek angkara Covid-19 segala perancangan tertunda. Raja Muda Perlis sudah terkenal dengan kayuhan baginda membantu rakyat namun program-program belia khususnya dengan Majlis Belia Perlis sudah tentu akan terus membantu anak muda memahami kepentingan institusi raja ini sekaligus merapati baginda.

MBM juga pernah merapati institusi Diraja Negeri Sembilan dengan mengadakan perbincangan akan hal ehwal pembangunan belia dan kerja belia profesional bersama Tunku Ali Redhauddin. Di Selangor pula, Raja Muda Selangor merapati belia melalui mekanisme Selangor Youth Community (SAY) yang turut melibatkan Majlis Belia Selangor dalam beberapa acara. MBM juga pernah terlibat mendokong program anjuran Alumni IIUM, The 2nd Malaysia-China Youth Civilisational Dialogue On Islam And Confucianism In Conjunction With The 45th Anniversary Of Malaysia-China Diplomatic Relations di mana Sultan Nazrin Shah sebagai penyampai ucaptama. Baginda dikenali sebagai ikon intelektual dalam kalangan belia dan rakyat. Di Perak, hubungan Majlis Belia Negeri Perak dengan pihak Istana di tahap yang amat baik.

MBM terlibat dilantik sebagai AJK Pemandu Siri Syarahan Diraja Pahang Peringatan Sultan Haji Ahmad Shah “The Ruler”, The Builder, The Engineer” yang dipengerusikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. Ini merupakan sebahagian usaha merapatkan belia dengan pihak istana melalui program intelektual dengan dicadangkan diadakan sama ada di Istana Negara, Istana Melawati atau Istana Abu Bakar namun sekali lagi dek kerana angkara Covid-19 program penting ini tertangguh.

Merapati institusi raja bukan untuk membodek atau mencari habuan dunia tetapi memberikan nasihat akar umbi yang terbaik untuk perhatian dan tindakan raja yang manfaatnya kembali kepada rakyat jelata. Nasihat yang salah kepada sang raja menatijahkan sebagai contoh Hang Nadim kehilangan nyawa bahkan negara kehilangan bakat permata. Rata-rata pemimpin baik rosak apabila mendapat punahsihat dan bukannya penasihat.

Pendidikan merupakan jalan terbaik mendidik anak muda menyemai kefahaman dan mempertahankan Institusi Raja Berperlembagaan. Selain pendidikan formal sedia ada yang dipelajari dalam subjek sejarah dan kenegaraan, mode terbaik adalah pendidikan informal melalui experiential learning. Justeru, cadangan panelis pertama Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman untuk merakyatkan istana adalah satu langkah progresif. Istana mahupun Muzium Diraja adalah wadah terbaik experiential learning untuk anak muda belajar menghargai kepentingan institusi raja namun ia perlulah informatif, interaktif dan mempunyai outcome yang jelas.

Hari ini (16 Jun 2021) sekali lagi Majlis Raja-Raja akan bersidang memperlihatkan betapa pentingnya institusi ini memainkan peranan untuk menegakkan keadilan, melindungi rakyat dan menamatkan huru-hara politik bagi mengembalikan semula fokus utama negara kepada pemulihan ekonomi dan sistem kesihatan yang agak genting.

Pandangan peribadi saya, tidak perlu kepada MAGERAN, kembalikan semula persidangan Parlimen segera sambil ahli politik perlu meningkatkan kesepakatan untuk fokus beberapa bulan ini bagi membantu rakyat dan mencapai imuniti kelompok. Tiba hari stabil dan terbaik kelak, maka bubarkanlah Parlimen bagi memberikan laluan rakyat memilih kerajaan yang lebih stabil untuk masa depan Negara.

Semoga Majlis Raja-Raja dikurniakan ilham terbaik untuk rakyat dan negara hari ini.

Jufitri bin Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast