KUALA LUMPUR – Para peserta ekonomi dan kewangan negara menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
SME Bank, sebuah agensi yang diselia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, Pelan Pemulihan Negara itu memberi gambaran yang jelas bagaimana negara akan bergerak keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 dan usaha membangunkan semula ekonomi akan dilakukan.
Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, bank itu akan menggunakan butiran yang diberikan oleh kerajaan untuk memantapkan lagi perancangan yang sedia ada untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah lama terjejas kerana pandemik Covid-19.
”Sejak PKP yang pertama sehingga sekarang, SME Bank telah menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada semua pelanggannya,” katanya.
Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional, Jay Khairil berkata, bank itu percaya bahawa pihak kerajaan telah merangka pelan pemulihan negara ini sebaik mungkin.
”Strategi pelan pemulihan negara melalui empat (4) fasa yang diumumkan juga dapat melindungi kehidupan rakyat Malaysia serta memulihkan ekonomi negara secara progresif,” ujarnya.
Telekom Malaysia Bhd (TM) turut memuji dan menyokong pengumuman Pelan Pemulihan Negara yang menggariskan strategi peralihan keluar empat fasa dan situasi bagi Malaysia untuk mengatasi kesan sosio-ekonomi pandemik Covid-19 ini.
Imri Mokhtar, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, Pelan Pemulihan Negara merupakan tindak balas yang diperlukan terhadap kesan ekonomi dan
sosial yang serius daripada wabak koronavirus ini.
”Kami berharap melalui pelaksanaan pelan ini secara efektif, negara dapat membendung pandemik Covid-19 ini ke tahap normal yang wajar menjelang akhir tahun, merancakkan kembali ekonomi dan menempatkan negara pada landasan pertumbuhan baharu,” ujarnya.
Sebagai penyedia perkhidmatan penting, TM akan terus memastikan rakyat Malaysia kekal terhubung dengan selamat di kediaman masing-masing dan semua perkhidmatan sokongan pelanggan tetap beroperasi sepanjang setiap fasa pelan pemulihan ini.
Dalam pada itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya Pelan Pemulihan Nasional yang diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, Perdana Menteri telah menggariskan parameter yang jelas dalam Pelan agar Malaysia dapat kembali normal setelah menghadapi cabaran akibat Pandemik Covid-19.
“Sebagai pemimpin, kita sekarang harus merumuskan strategi bagi organisasi dan bidang perniagaan masing-masing untuk memenuhi syarat-syarat plan bagi menggerakkan ekonomi dalam lima bulan yang akan datang,” katanya.
Mohd Zarif menambah bahawa kepemimpinan kolektif harus ada di dalam komuniti perniagaan untuk memulihkan ekonomi dan membantu negara mencapai imuniti kelompok mengikut garis masa yang diberikan oleh Perdana Menteri.
“Sebagai sebuah syarikat yang membangunkan infrastruktur rel utama di negara ini, MRT Corp tetap komited dalam membantu Kerajaan mengawal penularan kes-Covid-19 ke tahap yang rendah. Kami kini mendorong semua pihak berkepentingan di dalam ekosistem kami untuk turut serta dalam program vaksinasi,” katanya. – MalaysiaGazette