Keutamaan TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara termasuk memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta lebih daripada 9 juta pelanggan di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat komited untuk membantu usaha kerajaan bagi menangani kesan krisis pandemik Covid-19 dan akan berterusan memberi sokongan serta kerjasama bagi strategi peralihan keluar yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, keutamaan TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara berfokus kepada empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

Menurutnya, kesan positif daripada empat aspek tumpuan ini menjangkaui tiga indikator yang disebutkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang berkait dengan kadar penularan wabak Covid-19, keupayaan sistem kesihatan awam dan kejayaan progam vaksinasi negara.

”Sebagai syarikat utiliti elektrik negara, kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV), serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

”Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan ini dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil.

”Ia bagaimanapun, tidak menjejaskan komitmen kami untuk menyediakan bekalan yang kukuh dan stabil kepada 9 juta pelanggan kami.

“Pasukan operasi kami kekal terus menjalankan tugas setiap hari meskipun berdepan risiko, didorong matlamat kami untuk memastikan bekalan elektrik kukuh dan stabil bagi menyinari dan menceriakan kehidupan,” katanya.

Menurut Ir Baharin, TNB juga aktif mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan TNB mencapai imuniti kelompok dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, selain menawarkan premis-premisnya sebagai pusat pemberian vaksin bagi mempercepatkan kadar pemvaksinan negara.

Usaha-usaha ini melengkapi inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus seperti memendekkan waktu operasi Kedai Tenaga dan mengalih transaksi dan pertanyaan dari kaunter ke platform digital.

Tambah beliau, sebagai organisasi yang mempunyai niai-nilai teras yang termasuk Profesionalisme dan Prihatin, TNB terus mengimbangi pengurusan kewangan yang berhemat.

Usaha berterusan turut dilaksanakan bagi menambah baik rangkaian bekalan elektrik selaras dengan  peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab melalui pemberian bantuan kepada golongan dari sektor ekonomi yang terkesan serta membantu rakyat khususnya golongan B40.

Baharin menjelaskan, TNB akan memperluaskan lagi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi pelbagai program tanggungjawab sosialnya dan usaha sukarela warga kerjanya termasuk program potongan gaji secara sukarela.

Sejak Januari 2021, TNB telah secara terus memperuntukkan hampir RM9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini dan akan berterusan menghulurkan bantuan di kawasan-kawasan yang mana ia beroperasi di seluruh negara.

Tambah beliau, pelan bayaran mudah sedia ada TNB yang memanfaatkan hampir 7 juta pelanggan domestik telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan pemotongan bekalan ditangguh sehingga hujung bulan ini.

Selain itu, diskaun 10 peratus yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 pelangan dari enam sektor terpilih di bawah pakej PEMERKASA telah dilanjutkan sehingga akhir September.

”Kami juga berperanan penting dalam menyokong pemulihan ekonomi Malaysia dan ini akan menjadi lebih ketara dalam fasa-fasa akhir Pelan Pemulihan Negara. Ia merangkumi pelaburan perbelanjaan modal yang sedang giat dilaksanakan untuk memodenkan dan menambah baik grid nasional.

Usaha ini disokong oleh program pembangunan vendor dan inisiatif latihan kemahiran semula bagi menyokong pewujudan peluang pekerjaan baharu
dalam industri,” katanya.

Sepanjang Tempoh Kawal Selia 2018-2020, TNB telah melabur lebih RM7 bilion dalam program pembangunan vendor yang memberi manfaat kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana.

Satu inisiatif latihan kemahiran semula yang diterajui pusat latihan TNB, ILSAS, bertujuan memberi latihan kepada lebih 17,500 individu menjelang 2024 bagi menyokong proses peralihan tenaga negara.

Inisiatif-inisiatif berwawasan ini dilakukan bagi memastikan TNB dapat berterusan meletakkan negara dan rakyat dalam kedudukan yang baik dalam usaha untuk mempercepatkan usaha pemulihan. Untuk kembali ke landasan yang kukuh bagi mencapai pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, kerjasama antara sektor, rakyat dan kerajaan amat penting. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast