Polis telah selesai mengambil keterangan kesemua juri dan peserta Program All Together Now Malaysia bagi membantu siasatan selepas mereka didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai mengambil keterangan kesemua juri dan peserta Program All Together Now Malaysia bagi membantu siasatan selepas mereka didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz telah mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.

“Kita selesai merakam keterangan daripada kesemua 50 juri, 25 peserta mengenai program itu dan juga percakapan dari pegawai Kementerian Kesihatan iaitu Ketua dan Pegawai Penguatkuasaan kerana untuk mendapatkan pengesahan wujud atau tidak kesalahan berdasarkan bukti yang ada,” katanya.

Menurut A. Asmadi, polis kini dalam proses mengemaskini dan melengkapkan kertas siasatan kes itu.

Ujarnya, selepas ini kertas siasatan yang dilengkapkan akan diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.

“Kami telah menjalankan siasatan terhadap kesemua individu berkenaan sejak laporan polis pertama dibuat di Iskandar Puteri Johor pada 8 Jun lalu dan ia kemudian telah diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Putrajaya.

“Mereka dipanggil secara berperingkat untuk polis mengambil keterangan dalam kes ini,” tegasnya.

Terdahulu pada 11 Jun lalu, siasatan awal polis dalam kes itu mendapati penggambaran program itu dilakukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 3 Mac hingga 11 April lalu dengan merujuk kepada SOP Sektor Kreatif-Acara Langsung (PKPPemulihan) yang berkuatkuasa ketika itu.

Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No. 3) 2021 kerana tidak mematuhi SOP PKPP dengan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast