The government has extended the period for the appeal of Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) beginning 15 until 30 June for those whose application were not approved.
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan tempoh permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mulai 15 sehingga 30 Jun ini bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Katanya, kerajaan memperkenalkan BPR Tambahan berjumlah RM2.1 bilion bagi membantu penerima BPR 2021 sedia ada sebagaimana diumumkan Perdana Menteri dalam Program Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) 31 Mei lalu.

Menurut beliau, pemohon yang lulus rayuan BPR juga layak menerima amaun BPR Tambahan berkenaan.

Dua kaedah permohonan rayuan boleh dibuat, iaitu secara dalam talian melalui portal rasmi BPR LHDN, https://bpr.hasil.gov.my dan penghantaran borang rayuan BPR 2021 secara manual di cawangan atau Pusat Khidmat Hasil (PKH), Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN berhampiran secara janji temu sahaja.

“Selepas pangkalan data dikemaskini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon akan disalurkan pada Ogos ini bagi BPR Tambahan dan September 2021 untuk BPR Fasa 3.

“Bagi tahun ini sebanyak RM4.6 bilion bantuan BPR telah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima B40 seluruh negara pada Februari, Mac dan Mei lalu. Bayaran BPR Tambahan RM2.1 bilion akan disalurkan Ogos dan bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pada September.

“Jumlah keseluruhan bantuan ialah RM9.1 bilion dan kerajaan kekal komited untuk memastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasaran bagi menjamin kesejahteraan rakyat, terutama yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana), hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan akan meneruskan pelbagai langkah menyeluruh dan bersasar sebagai usaha menghadapi situasi pandemik yang masih mencabar bagi membantu rakyat dan perniagaan.

Katanya, ini termasuk langkah membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi di peringkat global terhadap kos sara hidup rakyat.

Beliau menegaskan, subsidi bahan api dan minyak masak akan dikekalkan berikutan peningkatan mendadak harga komoditi antarabangsa yang memberi kesan kepada produk petroleum seperti petrol RON95, diesel dan LPG serta minyak masak.

“Kerajaan dijangka bakal menampung subsidi sehingga RM8 bilion kerana peruntukan sebanyak RM3.78 bilion yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 tidak memadai berdasarkan harga pasaran global semasa bagi bahan-bahan keperluan ini,” katanya.

Beliau menyatakan, peningkatan subsidi bahan keperluan itu adalah yang terbesar dalam tempoh tiga tahun iaitu perbelanjaan 2019 sebanyak RM6.32 bilion, berbanding 2020 (RM2.16 bilion), 2021 (3.78 bilion) dan unjuran 2021 (RM8.0 bilion).

Sebagai bukti komitmen kerajaan untuk mengawal harga bahan keperluan itu, kerajaan mengekalkan senarai harga runcit bahan itu melalui subsidi yang diperuntukan.

Kata beliau, kenaikan subsidi yang besar itu hanya sebahagian daripada usaha berterusan untuk menangani cabaran situasi semasa dalam memastikan kos sara hidup terkawal.

Pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 dan inisiatif yang ditambah baik melalui PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA+ akan terus disalurkan sekurang-kurangnya sehingga Disember ini

Sebahagian dari inisiatif yang masih berterusan ialah BPR RM9.1 bilion, Geran Khas Prihatin 3.0 (RM1.5 bilion), bantuan pemandu bas/teksi/e-Hailing (RM191 juta), diskaun bil elektrik bagi enam sektor paling terjejas (RM270 juta) dan program subsidi upah 3.0 (RM5.2 bilion).

Kata Tengku Zafrul lagi, pembayaran tanpa tunai bagi semua perkhidmatan kerajaan akan dilaksanakan menjelang 2022 sebagai usaha mewujudkan keselamatan transaksi yang lebih tinggi, koordinasi lebih baik, di samping menambah baik komunikasi membanteras rasuah serta memudahkan perkongsian maklumat.

“Sasaran ini dijangka mampu dicapai memandangkan setakat akhir tahun lalu, 60 peratus jumlah kutipan oleh kerajaan adalah menerusi saluran e-pembayaran.

“Trend ini juga dicerminkan melalui penyaluran kebanyakan bantuan secara terus berasaskan tanpa tunai, di mana permohonan dan pembayaran untuk BPR dan Geran Khas Prihatin (GKP) dilakukan secara elektronik dan dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Woi menteri pekak kaa? Rakyat tanya moratorium masa lock down mana? I Sinar & I lestari mana?

  2. Nasib baik lah masih ada sabsidi. Kalau zaman Najib dulu semua sabsidi ditarik balik rupanya untok bayar hutang 1MDB.

Comments are closed.