Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berpandangan Perdana Menteri tidak boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melanggar Perkara 55 dalam Perlembagaan.

Tengku Razaleigh dalam kenyataan hari ini menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh menasihatkan YDPA kerana ia adalah tanggungjawab ketua negara itu untuk memanggil sidang Parlimen.

“Perdana Menteri tidak boleh menasihatkan YDPA melanggar Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan sebab Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55 itu bertanggungjawab memanggil Parlimen dalam masa enam bulan daripada tarikh akhir Parlimen yang lepas.

“Jika tidak, YDPA dan Perdana Menteri telah melanggar Perlembagaan dan sumpah jawatan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu mengulas mengenai pengzahiran Al-Sultan Abdullah yang membuat seruan agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

YDPA kelmarin menzahirkan perkara itu selepas berkenan menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang.

YDPA juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen dan diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang. – MalaysiaGazette