KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset-aset miliknya untuk membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah berkata, asetnya seperti bas bukan sahaja digunakan untuk membawa pesakit positif Covid-19 ke pusat kuarantin di Pulau Pinang, ia juga akan digunkaan untuk memudahkan rakyat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Selain Pulau Pinang, aset yang ditawarkan oleh Prasarana untuk kemudahan rakyat adalah di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

“Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai Kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar,” kata dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Prasarana juga sedia berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI) untuk membuka pusat-pusat vaksinasi sementara di stesen-stesen LRT seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar, yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.

Menurut Norlia, pihak pengurusan sedang merancang untuk menawarkan kakitangan syarikat untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan KKM ketika ini.

“Prasarana melihat Pelan Pemulihan Negara, yang mengandungi empat fasa pelaksanaan, adalah pelan yang realistik dengan mengambil kira realiti dan situasi sebenar risiko yang dibawa wabak ini.

“Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” kata beliau.

Prasarana mula bekerjasama dengan KKM, MOSTI, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seawal bulan Mac 2020 untuk menghebahkan maklumat tentang Covid-19, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta inisiatif kerajaan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin-skrin di stesen-stesen LRT dan monorel dan aset digital di dalam bas dan tren.

Jelas beliau, semua aset itu akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.

“Prasarana amat komited untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.

“Buat masa ini, bas-bas kami turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh KKM

“Kesemua Bas Kapten yang ditugaskan untuk kerja berkenaan telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun lepas,” ujarnya.

Menurut Norlia, secara keseluruhan, semua kakitangan barisan hadapan Prasarana juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast