KUALA LUMPUR – “Kepada semua majikan, tidak ada kemaafan lagi, hari ini hari terakhir dan saya mahu semua majikan jika anda rasa bersalah ingkar operasi, tutup segera aktiviti anda.”
Itu amaran tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada semua syarikat kilang perindustrian dan majikan yang menyalahgunakan kebenaran beroperasi pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Penuh sehingga 28 Jun ini.
Beliau menegaskan tanggungjawab pematuhan SOP tidak hanya bersandar kepada penguat kuasa untuk membuat pemantauan setiap hari sebaliknya ia tanggungjawab bersama tanpa perlu ditegur kerajaan setiap masa.
“Saya nak minta semua majikan hari ini saya buat sidang media ini kerana hendak memaklumkan semua majikan bahawa tidak ada kemaafan lagi.
“Hari ini adalah hari terakhir dan saya mahu semua majikan yang diberikan kebenaran beroperasi tengok semula kelulusan yang anda terima dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Jika majikan merasakan telah melakukan kesalahan mengingkari SOP dan menyalahgunakan kebenaran beroperasi itu, lebih baik tutup segera operasi anda mulai hari ini.
“Kalau dia (majikan) rasa betul boleh beroperasi, ikutlah SOP kalau 60 peratus dibenarkan maka ikut syarat itu secara serius dan kalau beroperasi mengikut hari bergilir-gilir juga mesti ikut kalau tidak tindakan maksimum tanpa kompromi akan menyusul,” katanya.
Terdahulu beliau bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan membuat pemantauan mengejut di dua kilang perindustrian di Kajang dan Segambut bagi memastikan pematuhan SOP oleh majikan seperti disyaratkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara.
Tambah Hamzah, amaran tegas diberikan kerana ada mobiliti pergerakan dilakukan semata-mata mencari keuntungan dan pada akhirnya memberikan masalah kepada negara dalam pematuhan SOP.
Ditanya mengenai kilang yang dikompaun mengingkari SOP masih beroperasi, beliau berkata, kesemuanya akan diambil tindakan kerana membuat pengisytiharan palsu sebagai pengeluar perkhidmatan penting serta menyalahgunakan kebenaran operasi.
Ia melibatkan lebih 40 buah kilang seluruh negara dan mereka dipantau bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang.
“Misalnya, ada satu kilang yang terlibat dua pembuatan iaitu pelitup muka dan pelampung kolam renang di Sungai Petani semalam maka kita mengarahkan pembuatan pelampung ditutup serta-merta dan dia pun akur dengan kesalahan itu.
“Justeru kita juga terus memantau dekat kilang-kilang yang pernah diambil tindakan melanggar SOP serta membuat pengisytiharan palsu sebagai perkhidmatan penting dengan kerjasama MITI,” ujarnya. – MalaysiaGazette