Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA – Sejumlah 91 peratus daripada pasukan penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menerima suntikan dos vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu meliputi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sekuranya-kuranya menerima dos pertama.

“Bagi melindungi petugas barisan hadapan di bawah KDN dan memastikan kekuatan pasukan penguatkuasaan dapat dikekalkan, sehingga 16 Jun 2021, hampir 91 peratus atau 150,934 orang petugas barisan hadapan KDN telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

“Manakala 80 peratus atau 133,781 orang daripada petugas barisan hadapan di bawah KDN telah melengkapkan suntikan dos kedua,” katanya dalam dalam sidang media berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di pejabatnya hari ini.

Dalam perangkaan itu, pegawai dan anggota polis adalah yang terbanyak dengan 130,326 yang mana 108,595 telah menerima dos pertama dan 96,183 dos kedua.

Pegawai Jabatan Imigresen pula merangkumi 14, 321 dengan 11,738 menerima dos pertama dan mereka yang telah melengkapi dos kedua adalah 10,976.

Jumlah pegawai penjara pula adalah sebanyak 15,411 untuk dos pertama dan 14,667 anggota telah melengkapkan dos kedua mereka.

Anggota Rela pula meliputi 3,862 untuk dos pertama dan 8,427 anggota pula telah lengkap dos kedua.

Sementara itu, sejumlah 3,862 anggota APMM telah menerima dos pertama dan 3,528 daripadanya telah melengkapkan dos kedua masing-masing.

Dalam pada itu, sejumlah 201 kompaun telah dikeluarkan KDN terhadap kilang atau premis perniagaan yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ia hasil daripada 48,770 pemeriksaan terhadap kilang dan premis perniagaan yang dibuat di seluruh negara bermula 14 Jun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan telah diperiksa. Sebanyak 21 tangkapan dibuat, dan 201 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang atau premis perniagaan yang didapati melanggar SOP.

“Selain itu, sebanyak 63 kilang dan premis perniagaan telah diarahkan untuk ditutup,” katanya lagi.

Untuk rekod, dari 1 Jun sehingga 17 Jun lalu, sebanyak 14,539 kompaun telah dikeluarkan dan 767 tangkapan telah dibuat oleh pihak PDRM atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP. – MalaysiaGazette