Gambar hiasan

TOKYO – Penganjuran temasya terbesar dunia Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun dicadangkan diadakana tanpa penonton, satu opsyen mengurangkan risiko penularan Covid-19, kata pakar perubatan Jepun.

Dalam satu laporan terbaharu, mereka memberikan amaran wujud risiko pergerakan orang ramai akan mengundang penularan jangkitan Covid-19, sekali gus akan melumpuhkan sistem kesihatan Jepun.

Namun sumber kerajaan memberitahu, mereka mahu penonton domestik sahaja  dibenarkan untuk hadir menyaksikan sukan tersohor itu memandangkan penonton luar negara telah dilarang memasuki negara itu termasuk sepanjang temasya tersebut.

Olimpik Tokyo sepatutnya berlangsung tahun lalu tetapi ditangguhkan akibat pandemik.

Ia dijadualkan membuka tirai pada 23 Julai ini.

Laporan pakar perubatan Jepun diketuai Penasihat Kesihatan, Shigeru Omi telah dikeluarkan pada hari Jumaat menyifatkan cadangan temasya tanpa penonton itu adalah pilihan terbaik yang ada pada ketika ini.

Bagaimanapun, pakar yang sama mengemukakan satu lagi pandangan iaitu setiap stadium yang menganjurkan acara boleh dibenarkan 10,000 penonton pada satu-satu masa.

Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Jepun, Seiko Hashimoto bersetuju dengan cadangan penganjuran Sukan Olimpik tanpa penonton akan mengurangkan risiko jangkitan.

Tetapi pihaknya masih mencari jalan terbaik untuk membenarkan kehadiran penonton.

Keputusan akhir dijangkakan diputuskan pada Isnin ini.

Dalam satu lagi perkembangan Olimpik, para pegawai dan sukarelawan yang akan bertugas sepanjang temasya kali ini sudah mula menerima suntikan vaksin mereka.

Pfizer menyedikan dos yang mencukupi untuk 40,000 orang – merupakan satu lagi usaha menjayakan program vaksinasi kebangsaan di negara ini.

Walaupun Jepun dilanda gelombang baharu Covid-19 sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Sukan Olimpik akan diteruskan tanpa masalah.

Perintah Darurat yang sedang berkuatkuasa di Tokyo akan ditamatkan pada Ahad ini.

Media-media melaporkan bahawa rakyat masih ragu-ragu dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan acara sukan terbesar itu memandangkan proses vaksinasi sangat perlahan.

Setakat ini hanya 16 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat negara itu telah mengambil dos pertama vaksin.- MalaysiaGazette