Salah seorang warga luar yang dipercayai terlibat aktiviti seks yang ditahan polis di Kuala Lumpur semalam.-Pix Ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Sembilan wanita warga asing yang disyaki menjadi pelacur ditahan dalam enam serbuan polis di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 21 hingga 38 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua tangkapan meraih pendapatan harian antara RM3,000 hingga RM6,000 sehari dengan pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM1,000 untuk setiap satu jam perkhidmatan seks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sembilan wanita warga asing itu terdiri dari dua dari Uzbekistan, dua dari Filipina, dua dari Belarus, seorang dari Rusia, seorang dari Iran dan seorang dari Ukraine.

Mohamad Zainal memaklumkan serbuan dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail.

Antara barang rampasan dari bilik kondominium yang dirampas polis.

Hasil pemeriksaan di bilik kondominium itu telah merampas 26 keping kondom, lima botol minyak pelincir pelbagai jenama, 13 unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima alat mainan seks, tujuh keping kad akses, mata wang asing USD 1, 900 dan RM31, 513.

Siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 372B, Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Justeru pihaknya memohon kerjasama dari masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti pelacuran sekitar kawasan Dang Wangi dengan menghubungi talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atan mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette