Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh memanggil Parlimen untuk bersidang bila-bila masa.

Langkah itu bertitik tolak daripada Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah menurut beliau, hanya Agong mempunyai kuasa mutlak bagi menghenti atau membubarkan Parlimen berdasarkan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan itu.

“Pandangan kedua jika pun Ordinan Darurat telah mengatasi Perlembagaan Persekutuan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan Parlimen bersidang tanpa nasihat Perdana Menteri.

“Ini kerana apabila Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai, maka Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Kabinet juga tidak terpakai,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Ahmah Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional turut menyertakan pandangan ketiga iaitu, Ordinan Darurat memberi kuasa kepada Agong memanggil sidang Parlimen tanpa perlu menunggu nasihat Perdana Menteri.

Ujarnya, Seksyen 14 Ordinan Darurat memperuntukkan sidang Parlimen boleh dipanggil, diprorog dan dibubar pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Seksyen 15 Ordinan Darurat pula memperuntukkan Agong boleh memanggil, memprorog dan membubar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas berunding dengan Raja dan Yang di-Pertua Negeri, tambahnya.

Secara umumnya kata beliau, kesemua pandangan itu mengilhamkan resolusi, Agong sememangnya boleh memanggil sidang Parlimen bagi diadakan pada bila-bila masa.

“Pandangan-pandangan itu malah, dilihat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 bahawa sidang Parlimen boleh diadakan sepanjang tempoh Darurat.

“Pandangan-pandangan terbabit juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin,” tegasnya. – MalaysiaGazette