Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran membenarkan pencarum membuat pengeluaran tambahan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar mereka dapat meneruskan kelansungan hidup dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, langkah itu boleh dijadikan sebagai salah satu daripada penambaikan dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu agar rakyat dapat membayar sewa dan menyediakan makanan di atas meja, walaupun mereka mungkin tiada pendapatan.

Katanya, fasa pertama berkemungkinan akan lebih lama daripada 45 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh seperti yang dilaksanakan tahun lepas dan sehingga ke hari ini, moratorium automatik, i-Sinar dan i-Lestari 2.0 masih tidak dicadangkan oleh Menteri Kewangan.

“Rakyat pula kian terhimpit dengan desakan hidup, termasuklah golongan M40, terutama di bandar-bandar…golongan usahawan PKS turut memerlukan moratorium pinjaman kerana perniagaan mereka turut terjejas.

“Lebih daripada 600,000 isi rumah daripada golongan pendapatan M40 telah jatuh ke kategori B40 disebabkan krisis Covid-19 yang menjejaskan paras pendapatan penduduk Malaysia.

“Berdasarkan kajian dan maklumat Jabatan Statistik, sekurangnya-kurangnya lapan peratus daripada sejumlah 7.28 juta isi rumah yang dilaporkan, mengalami kemerosotan pendapatan ke bawah paras pendapatan maksimum B40, iaitu RM4,850 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shahir, kemerosotan ketara paras pendapatan itu telah mencetuskan kebimbangan tentang ketidaksamaan yang semakin meluas dan kesannya terhadap kedudukan sosioekonomi Malaysia, seterusnya menyebabkan tumpuan berganjak kepada pelan kerajaan untuk menangani keadaan tersebut.

Katanya, DPIM turut kecewa apabila menerima berita bahawa terdapat ramai rakyat di negara ini kini merana kerana tiada punca pendapatan.

Malah, laporan berita semalam menunjukkan seorang wanita mengalami tekanan emosi akibat diberhentikan kerja dan cuba membunuh diri dari tingkat 32 sebuah kondominium di Damansara, sangat mengejutkan.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai masalah kewangan turut dihalau keluar oleh pemilik rumah selepas gagal membayar sewa biliknya, kata Shahir.

Justeru beliau berkata, pengeluaran tambahan daripada akaun simpanan berkenaan oleh pencarum dapat membantu mereka meneruskan kehidupan dalam tempoh yang perit ketika ini. – MalaysiaGazette