Mohd Hairi Mad Shah

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Johor berpendapat semua pihak terutama barisan kepimpinan kerajaan perlu akur dan memahami pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berhubung langkah menyegerakan sidang Parlimen.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, meskipun tiada dinyatakan tarikh tetap, jika keadaan membolehkan persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat, tidak ada masalah ianya diteruskan dengan kawalan ketat prosedur operasi standard (SOP).

“Kedua mengenai soal ketidakstabilan suhu politik negara, ini juga memberikan indikasi dan sudut pandang di mana Istana Negara serta Majlis Raja-Raja Melayu sendiri sedar dan nampak kepincangan politik yang berlaku hari ini.

“Atas dasar itu, sesuatu perlu dilakukan bagi menyelesaikan perkara ini dalam memastikan kestabilan politik terus terjaga dan kepentingan rakyat terus terbela sepanjang tempoh pasca pandemik ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai Proklamasi Darurat Mohd Hairi berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan darurat seperti yang ditegaskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Jelasnya, keperluan darurat yang disifatkan “hangat-hangat tahi ayam” tidak lagi relevan kerana kes Covid-19 masih lagi berada pada tahap yang membimbangkan.

“Darurat ini bertujuan membolehkan kerajaan bertindak di luar kebiasaan. Apa guna darurat dibuat sekiranya kerajaan tidak berani mengarahkan kilang besar ditutup?

“Tidak berani mengambil alih hospital pakar untuk membantu sistem kesihatan awam? Tidak mampu menggunakan kuasa dalam istilah darurat,” ujarnya.

Beliau mendakwa, darurat dibuat semata-mata untuk menggubal undang-undang menambah nilai kompaun, dan menjaga kelompok tertentu sahaja dan pandangan Agong serta Raja-Raja Melayu berhubung tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh darurat itu
memang kena pada waktunya.

Dalam pada itu beliau berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Johor mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad yang dengan tegas bersedia untuk mengadakan sidang DUN segera sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast