KUALA LUMPUR – Tempat tinggal yang tidak sesuai untuk manusia, persekitaran yang kotor dengan sampah makanan berlonggok dipenuhi lalat, berbau dan suasana begitu menyesakkan.
Itulah keadaan penempatan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Stonor.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihak majikan tapak pembinaan itu gagal 100 peratus dalam aspek kebersihan dan tidak memenuhi standard minimum Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Aspek kebersihan langsung tidak diutamakan bahkan majikan sewenangnya membiarkan pekerja hidup dalam suasana tidak selesa.
Bukan itu sahaja, malah kesemua pekerja tidak disediakan tilam dan bantal.
Lebih buruk lagi, apabila difahamkan majikan tapak pembinaan berkenaan gagal membuat permohonan perakuan penginapan mengikut Seksyen 24D Akta 446.
“Secara keseluruhan kita memang tidak berpuas hati dengan keadaan tempat tinggal, tempat mandi, bilik-bilik yang disediakan sangat tidak sesuai didiami oleh manusia.
“Dibimbangi keadaan persekitaran ini boleh menyebabkan berlakunya penularan Covid-19,” katanya.
Terdahulu beliau dan sepasukan polis dari IPD Dang Wangi menyerbu tapak pembinaan berkenaan menerusi Operasi Pemeriksaan SOP PKP Penuh hari ini.
Turut hadir beberapa anggota daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memantau tahap pematuhan akta 446.
Penginapan tapak pembinaan itu hanya mempunyai enam buah tandas untuk kegunaan lebih kurang 200 pekerja pembinaan warganegara Bangladesh di situ.
Lebih buruk, pengurus tapak pembinaan itu yang merupakan warganegara China pada mula nya tidak berpuas hati dengan kehadiran pihak berkuasa pada hari ini.
Namun, Mohamad Zainal menegaskan mereka datang untuk memantau tahap pematuhan PKP bagi membendung penularan Covid-19.
Jelasnya lagi, penguatkuasa tidak perlu memaklumkan pihak pengurusan sebelum datang membuat serbuan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan Wilayah Persekutuan Mohd Faisal Fariz Baharudin berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis arahan membersihkan dan menambah baik persekitaran penginapan pekerja tapak pembinaan itu kepada majikan.
Jelasnya, pihak majikan diberika tempob selama dua minggu untuk menambah baik dan sekiranya gagal berbuat demikian, pekerja pembinaan akan diarah keluar dari kawasan berkenaan.
“Kami akan keluarkan notis arahan dan pantau mereka,” katanya.
Selain itu, IPD Dang Wangi turut membuat pemantauan di sebuah lagu tapak pembinaan berdekatan Jalan Bukit Bintang.
Hasil pemantauan di lokasi kedua itu, JTK dan polis berpuas hati dengan tahap pematuhan AKTA 446 dan SOP mengekang penularan Covid-19 yang diamalkan.-MalaysiaGazette