Penduduk Pangsapuri Permai melakukan aktiviti harian semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang masih berkuatkuasa sehingga 10 Jun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 JUN 2021.

Saudara Pengarang,

Pelan Pemulihan Negara sudah dibentangkan, kini bergantung kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendokongnya agar ia mencapai kejayaan.

Jangan juga putus berdoa memohon limpah rahmat dan perkenan tuhan moga kita mampu keluar daripada krisis pandemik ini lebih awal daripada garis masa yang disasarkan.

Berdasarkan apa yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin tempoh hari, saya faham segala intipati, parameter atau tanda aras untuk menunjukkan kejayaan setiap empat fasa yang disenaraikan.

Kerajaan pantas merangka pakej bantuan untuk membantu rakyat dan sektor ekonomi terkesan dan kini disokong pelan pemulihan yang menggariskan strategi jelas untuk negara keluar daripada kemelut COVID-19.

Pelan ini membolehkan semua pihak, hatta rakyat kebanyakan sekali pun untuk membuat perancangan berpandukan garis masa dan sasaran yang ditetapkan.

Tidak perlu rasanya diperincikan segala pelan kontingensi, bila kumpulan umur sekian-sekian akan diberi pelalian atau bila vaksin sekian-sekian akan tiba kerana segala perkembangan akan dimaklumkan secara harian atau mingguan oleh menteri atau agensi yang bertangunggjawab.

Pelan tersebut adalah panduan atau rujukan untuk kita tahu rancangan pemulihan, untuk ibu bapa dan pelajar menjangka bila sesi persekolahan bersemuka boleh dibuka semula, begitu bila boleh diberi kelonggaran untuk sektor sosial dan ekonomi beroperasi kembali.

Kita juga boleh membuat jangkaan bila akan dibenarkan merentas daerah dan negeri, pulang dari ibu kota dan perantauan tempat mencari rezeki untuk bertemu orang tua serta adik-beradik di desa.

Apa yang perlu kita fahami adalah perincian setiap fasa dan bekerjasama membantu kerajaan mencapai matlamat pelan berkenaan mengikut garis masa yang disasarkan.

Pada masa yang sama, kita harus lebih peka dan lebih komited serta berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memerangi Covid-19 yang sudah lebih setahun mengancam dunia.

Sedarlah, berjaya atau tidak pelan ini bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan industri, bukan terletak pada bahu kerajaan semata-mata.

Pematuhan ketat kepada SOP dan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok telah terbukti berkesan di kebanyakan negara dan saya percaya kita juga berada di landasan yang betul untuk kembali kepada norma kehidupan biasa.

Jumlah imunisasi kini mencecah 200,000 sehari dan saya yakin ia akan terus bertambah selepas ketibaan lebih banyak vaksin dalam tempoh ke hadapan ini seperti jaminan diberikan kerajaan.

Kini, tanggungjawab merealisasi apa yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara terletak di atas bahu seluruh penduduk di Malaysia.

Ayuh semua, rakyat biasa, golongan berada, pimpinan politik, warga maya, ayuh kita jaga sesama kita. Lindungi diri lindungi semua, kita pasti berjaya.

Johan Salehuddin
Tanjung Malim

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast