Gelagat guru dan pelajar pada hari pertama sesi pembelajaran selepas pembukaan semula sekolah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest, Sri Gombak, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Niat dan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil guru secara beramai-ramai adalah baik untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru, malangnya strategi yang digunakan tidak sesuai.

Strategi yang digunakan itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti keguruan.

Kebimbangan itu timbul apabila kesediaan KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk menerima graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 ini adalah sangat mengecewakan.

Dr Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, sepatutnya hanya graduan bidang pendidikan sahaja layak memohon dan diterima untuk mengisi 18,702 jawatan baharu secara one-off yang ditawarkan oleh KPM.

Anuar Ahmad

”Analoginya, bolehkah kita mengambil graduan bidang lain untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera? Mengapa dalam profesion keguruan ini dibenarkan?

”Bukankah ini satu tindakan yang tidak profesional dan akan menjejaskan kualiti keguruan negara? Apakah ibu bapa bersedia anak-anak mereka diajar oleh seorang guru yang tiada langsung latar belakang pendidikan?

”Ini sudah seperti tahap kelas tuisyen swasta dan bukan lagi menggambarkan sebuah institusi sekolah kerajaan,” katanya yang menyifatkan KPM telah melakukan tindakan yang tidak tepat dan ini akan merosakkan kualiti pendidikan di Malaysia apabila membenarkan graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan guru secara one-off.

Beliau mengulas pengumuman pengambilan khas guru secara one-off membabitkan seramai 18,702 orang tenaga pengajar oleh KPM tidak lama lagi.

Iklan pengambilan ini akan dikeluarkan pada 7 Julai ini dan calon berjaya akan ditempatkan di sekolah-sekolah pada bulan Oktoberi ini.

Anuar berpendapat, sepatutnya KPM mengarahkan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan semua Fakulti Pendidikan di Universiti Awam (UA) untuk segera membuat pengambilan yang lebih ramai pelajar pendidikan secara one-off bagi mata pelajaran yang kekurangan guru.

Misalnya jika mata pelajaran Bahasa Melayu kekurangan guru, KPM arahkan IPG Pendidikan Bahasa Melayu dan UA yang mempunyai program Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu membuat pengambilan yang lebih ramai secara one-off untuk mengisi kekurangan tersebut.

Selain itu, katanya, IPG dan UA boleh melantik pensyarah kontrak untuk melatih lebih ramai guru yang diperlukan.

Tambahnya KPM sepatutnya mewujudkan sistem ‘dashboard’ data berkaitan sistem pendidikan negara termasuklah kekosongan guru terkini setiap daerah.

Beliau berkata, strategi pengambilan secara one-off ini akan merencatkan perancangan unjuran program pengajian pendidikan di UA dan IPG kerana apabila pengisian jawatan baru berlaku secara one-off, keperluan guru untuk masa terdekat akan lebih mengecil kerana perjawatan telah diisi penuh.

”Apa kesudahannya kepada graduan pendidikan yang akan tamat belajar nanti? Mereka telah dilatih spesifik untuk keguruan, mereka tentunya tidak kemahiran di dalam bidang yang lain,” ujarnya.

Akhirnya, kualiti pendidikan akan terjejas apabila graduan bukan ijazah pendidikan mula mengajar tanpa kemahiran pedagogi dan berlaku lambakan graduan pendidikan yang lebih serius di masa hadapan.

Situasi ini akan memberi kesan kepada kewujudan IPG dan Fakulti Pendidikan di UA seluruh Malaysia, katanya.

Beliau berkata, pengakuan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tentang kekurangan guru sejak sekian lama telah membuktikan kegagalan perancangan kepimpinan KPM selama ini dalam menyelaraskan guna tenaga sumber manusia keguruan negara.

“Pengakuan berkali-kali YBM Kanan Pendidikan mengesahkan isu kekurangan guru ini telah lama berlaku. Mengapa boleh berlaku? Puncanya tentulah disebabkan kegagalan pihak pengurusan KPM merancang dan membuat unjuran perjawatan dengan teratur dan baik.

”Itulah sebabnya berlaku kekurangan guru,” ujar Anuar. – MalaysiaGazeette