Polis iringi 11 suspek bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Seramai 11 lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan  melanggar prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown) dengan berarak mengiringi mayat di Jalan Siram di sini pada Khamis lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga  35 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 24 Jun depan.

11 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

Kesemua 11 suspek itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 9 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, polis menahan 11 individu yang disyaki melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dalam perarakan mengiringi mayat di Jalan Tiram, Butterworth di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya mewujudkan Pasukan khas Task Force bagi mengesan suspek selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial

“Pada waktu di antara jam 6 petang sehingga 10 malam, seramai 11 suspek berusia di antara 15 hingga 35 tahun ditangkap di sekitar Butterworth dan Mak Mandin.

“Kesemua suspek mengaku terbabit dalam perarakan itu kerana mahu meraikan kematian rakan sekumpulan berusia 23 tahun yang meninggal akibat penyakit batuk kering,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 56 saat memaparkan sekumpulan individu sedang berarak dan sebahagiannya dilihat menari, bermain gendang dan membawa sepanduk ketika mengiringi mayat yang diusung di atas keranda. – MalaysiaGazette