Tengku Zafrul Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan sedang memperincikan bantuan-bantuan tambahan mengikut keperluan setiap fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Kajian itu dalam peringkat akhir dengan penelitian terhadap semua langkah sedia ada, selain bantuan tambahan yang boleh dilaksanakan pada fasa kedua, ketiga dan keempat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian itu boleh merangka penambahbaikan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan sebaik sahaja perincian dan prosedur operasi standard (SOP) itu dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM8.1 bilion sehingga akhir tahun ini.

Ia termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPB) bernilai RM4.5 billion, serta bantuan bulanan kebajikan masyarakat bernilai RM1.25 billion.

Bagi tahun ini sahaja keseluruhan bantuan tunai yang telah disalurkan oleh kerajaan berjumlah RM16.7 bilion.

Yang terbaharu, pada bulan lalu, kerajaan melancarkan Jaringan Prihatin dengan 1.7 juta permohonan diluluskan termasuk 500,000 orang mendapat telefon pintar baharu.

”Pelbagai bantuan masih dalam proses pelaksanaan dengan baki peruntukan untuk tempoh Jun hingga Disember 2021 adalah sejumlah RM8.1 bilion.

”Bantuan-bantuan yang disalurkan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media khas Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini.

Sidang media itu turut disertai oleh  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bagi memberi penerangan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Selain bantuan kepada individu, kerajaan turut komited bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam menangani pandemik ini dengan memperuntukkan RM14.1 bilion kepada sektor perniagaan bagi tahun 2021.

Beliau menjelaskan, bantuan kepada sektor perniagaan belum berakhir kerana satu juta perusahaan mikro akan menerima Geran Khas Prihatin (GKP) pada akhir bulan ini dan Julai.

”Peruntukan Subsidi Upah masih berbaki RM6 bilion untuk disalurkan bagi menjamin bayaran gaji kepada 2.7 juta orang pekerja. Dengan kata lain, kerajaan menampung dan membayar gaji rakyat yang terkesan.

“Selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara beransur-ansur kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada program pinjaman mikro untuk perusahaan mikro memulakan semula perniagaannya,” ujarnya.

Jelasnya, PPN bertujuan memberi ketentuan dan gambaran yang jelas mengenai hala tuju negara untuk keluar dari kemelut krisis Covid-19, yang mana ia merupakan pendekatan peralihan PKP secara berfasa dengan setiap fasa melibatkan pembukaan sektor ekonomi serta aktiviti sosial berdasarkan nilai ambang yang telah dicapai.

”Dari segi ekonomi kerajaan telah umum pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+)  untuk melengkapi pakej bantuan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan juga Belanjawan 2021,” ujar beliau.

Dalam konteks ini, PEMERKASA+ adalah bantuan tambahan bagi Fasa 1 PKP yang dilaksanakan sekarang. – MalaysiaGazette