Seorang bapa menenangkan anaknya murid pra sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette hari pertama persekolahan.

SEMUA manusia mengimpikan sebuah keluarga yang sejahtera seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:

Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.”

Cabaran bagi seorang bapa sebagai ketua keluarga adalah bagaimana untuk menjadikan anak dan isteri sebagai penyejuk mata.

Kata bijak pandai, “Apa yang kita semai, itulah yang kita akan tuai.” Oleh itu, kita harus berusaha menyemai nilai-nilai baik dalam keluarga supaya hasilnya nanti merupakan mutiara-mutiara berharga yang akan dikecapi, di dunia dan akhirat”.

Keunggulan keperibadian Rasulullah SAW sebagai ketua kepada keluarga, masyarakat dan negara serta umat manusia di seluruh alam dan dinobatkan sebagai pemimpin sepanjang zaman, perlulah dicontohi. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiyaa’: 107)

Terdapat tiga ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah SAW yang perlu dicontohi oleh para bapa iaitu:

1. Wawasan yang jelas

2. Nilai-nilai yang murni

3. Daya ketahanan diri yang tinggi

Ayah yang mempunyai wawasan yang jelas akan mampu mengemudi bahtera keluarganya menuju puncak jaya. Dia jelas arah mana yang hendak dituju serta bagaimana untuk melakukannya.

Seorang bapa juga harus memimpin dengan berusaha memupuk nilai-nilai yang murni; memimpin dalam suasana kasih sayang, memberi teladan yang unggul serta mempunyai nilai integriti yang tinggi dalam diri. Bapa juga perlu sentiasa berbincang dalam membuat keputusan agar suasana harmoni sentiasa wujud dalam rumah tangga.

Memiliki daya ketahanan diri yang tinggi itu penting agar apabila ombak melanggar bahtera, nakhodanya tetap teguh mengemudinya.

Wahai para bapa!

Sempena Hari Bapa yang disambut pada hari ini, marilah kita mensyukuri nikmat menjadi seorang bapa dengan berusaha menjadi bapa terbaik kepada anak-anak kita.

Walau pada fasa mana usia kita dan anak-anak, peluang untuk menjadi bapa terbaik sentiasa terbuka.

Mari kita jadi penyebar rahmah dan kasih sayang dalam keluarga kita.

Ar-Rasul SAW sentiasa mencium anaknya Fatimah RA apabila berjumpa walaupun kedua-duanya sudah meningkat usia. Kisah Ar-Rasul mencium cucunda-cucunda baginda, Hasan RA dan Husin RA adalah suri teladan bagi bapa-bapa muda.

Mari kita terus bina keluarga dengan benih kasih sayang agar ia tumbuh mekar harum mewangi.

Kita hapuskan budaya bapa yang tidak bertanggungjawab yang merosakkan rumah tangga dengan sikap baran yang membawa kepada keganasan rumah tangga dan yang paling sedih melakukan jenayah seksual (sumbang mahram) kepada anggota keluarganya.

Mari kita menjadi agen kepada pembinaan keluarga yang sejahtera bermula dengan keluarga kita sendiri.

Marilah juga kita terus belajar untuk melengkapkan diri untuk menjadi bapa mithali.

Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui kempen Lelaki Hero Keluarga yang digerakkan oleh Kumpulan Fokus Keluarga Utuh, berusaha untuk memartabatkan peranan lelaki dalam pembangunan keluarga.

Sempena Hari Bapa 2021 ini yang bertemakan ‘Bapa Pemimpin, Keluarga Sejahtera’, kami menyarankan agar semua bapa memainkan peranan memimpin keluarga dengan membina suasana yang kondusif untuk anak-anak membesar dan keluarga berkembang.

Pada musim pandemik Covid-19 ini, mungkin ada para bapa yang diuji dengan kehilangan mata pencarian. Marilah kita melihat di sekitar kita dan membantu keluarga-keluarga yang memerlukan.

Para ibu dan anak-anak, marilah sama-sama kita berusaha memperkasakan kaum bapa dan memberi ruang kepada mereka untuk memainkan peranan sebagai ‘qawwam’ yakni pemimpin dan pelindung yang berjaya (mafhum Surah An-Nisaa’ ayat 34).

Binalah keluarga bersama-sama dalam suasana kasih sayang kerana nikmatnya akan dikecapi bersama di dunia dan akhirat.

Selamat Hari Bapa!

Nahar Md Nor
Pengerusi
Kumpulan Fokus Keluarga Utuh,
Pasukan Petugas Agenda Nasional Masyarakat Progresif
Merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia