SEBERANG PERAI – Polis menahan seramai 12 inidividu termasuk bookie pertaruhan Euro 2020 dalam 11 serbuan yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
Serbuan di sekitar Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Sungai Dua itu turut membawa kepada pendedahan sindiket perjudian dan loteri haram yang berselindung di sebalik premis perniagaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua 12 suspek yang ditahan itu terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita yang berusia lingkungan 18 hingga 56 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap peralatan elektronik beberapa suspek menemui pautan laman sesawang digunakan bookie untuk pertaruhan judi bola sepak EURO 2020.
“Selain pertaruhan bola sepak, ada suspek yang menjalankan kegiatan loteri haram dan menjual tambah nilai untuk kegunaan perjudian online.
“Dalam serbuan tersebut, kita dapati masih terdapat sindiket perjudian menjadikan premis perniagaan sebagai markas operasi walaupun berulang kali pihak polis melakukan serbuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Noorzainy, dalam operasi tersebut pihaknya merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk kegiatan perjudian termasuk lapan buah telefon bimbit, buku nota, kalkulator serta sejumlah wang tunai.
“Selain tangkapan, kita juga meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan pemotongan elektrik ke atas semua premis yang diserbu,” kata beliau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(A) dan 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta 6(3) Akta Pertaruhan 1953. – MalaysiaGazette