Khairy Jamaluddin Abu Bakar herd immunity Covid-19 vaccine vaccination
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menerima hampir 100,000 permohonan daripada ibu hamil yang mahu mendapatkan vaksin Covid-19 di seluruh negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, janji temu untuk golongan itu juga sedang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin.

Menurutya, pada penghujung minggu lalu, pihaknya telah memberikan sebanyak 3,000 janji temu di Kuala Lumpur manakala 224 janji temu di Perlis kepada ibu hamil.

“Pada hujung minggu ini, kita akan ada satu sesi vaksinasi untuk ibu hamil di Kuala Lumpur dan Perlis, manakala di negeri lain, ia sedang diproses.

“Kita akan keluarkan janji temu mengikut keutamaan berdasarkan jangkaan tarikh melahirkan dalam minggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, CITF menyasarkan 10 peratus daripada populasi negara akan memperoleh vaksinasi penuh menjelang pertengahan Julai ini.

Ujarnya, seramai lapan juta daripada populasi akan menerima vaksinasi menjelang akhir bulan ini dan berharap jumlah pemberian dos akan meningkat kepada 10.7 juta menjelang pertengahan Julai nanti.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan menggiatkan pemberian vaksin harian.

“Berdasarkan kepada sasaran, dengan mengambil kira bekalan vaksin dan kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV), kami menjangka dapat mencapai 10 peratus pelalian penuh menjelang pertengahan Julai ini.

“Ketika ini, bagi setiap 100 dos diberikan, 30 dos adalah dos kedua. Bagi memastikan 10 peratus daripada populasi atau 3.2 juta penduduk menerima imunisasi, kita perlu memberikan vaksin terhadap 10.7 juta dos,” tambahnya. – MalaysiaGazette