KUALA LUMPUR – Golongan pelarian di negara ini tidak dipinggirkan dalam program imunisasi kebangsaan yang giat dijalankan ketika ini dan mereka akan menerima vaksin CanSino.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan dijangka menerima bekalan vaksin berkenaan pada bulan depan.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, pemberian vaksin itu lebih mudah kerana ia hanya memerlukan satu dos sahaja.
“Golongan pelarian akan diberi vaksin CanSino di mana ia lebih senang untuk mengawal pergerakan mereka yang ramai.
“CanSino hanya membabitkan satu suntikan dos dan bersesuaian kerana pelarian tidak perlu terima dua kali untuk tujuan suntikan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil yang mula beroperasi di sini hari ini.
Khairy juga memberi jaminan golongan pelarian yang tidak memiliki dokumen akan turut diberi suntikan vaksin.
Jelas beliau, suntikan vaksin menjadi keutamaan kerajaan dan golongan pelarian yang tidak memiliki dokumen menjadi isu kedua.
Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) meminta kerajaan memastikan golongan pelarian di negara ini turut dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan yang giat dijalankan ketika ini.
SUHAKAM dalam kenyataan turut meminta kerajaan menyediakan tempat selamat untuk mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Dalam usaha menangani pandemik Covid-19, SUHAKAM berharap kerajaan dapat menegakkan prinsip ‘tiada sesiapa yang ketinggalan dengan memastikan pelarian turut dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan,” katanya.
SUHAKAM turut menggesa kerajaan menerima pakai dasar perlindungan pelarian komprehensif, inklusif, tidak mendiskriminasi dan berjangka panjang di negara ini. – MalaysiaGazette