Noh Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar tidak bersetuju jika ada usul undi tidak percaya dikemukakan semasa Parlimen bersidang kelak.

Menurutnya, ia bukanlah masanya untuk sibuk berpolitik dengan membangkitkan isu ketidakpercayaan dalam sidang Parlimen kerana negara kini berhadapan situasi sukar akibat jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Selain itu, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang terdiri daripada 21 ketua bahagian dan ketua-ketua sayap  sebulat suara menyokong penuh kenyataan presiden parti itu agar persidangan Parlimen diadakan 14 hari dari hari ini.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya keputusan pada mesyuarat biro politik malam tadi secara maya.

“Keputusan Biro Politik ini sejajar dengan perjuangan UMNO untuk menegakkan Kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti dibawah perkara 3.2 Perlembagaan UMNO.

“UMNO Selangor juga mendesak supaya persidangan Parlimen diadakan dalam tempoh 14 hari untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh wakil rakyat dalam usaha memerangi Covid-19 selain pulihkan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Noh, soal isu notis 28 hari di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang ditimbulkan segelintir pihak sebenarnya bukan satu penghalang untuk dewan bersidang dalam tempoh 14 hari.

“Seperti dalam Peraturan 9(2)(a) iaitu “sekurang-kuranya 28 hari sebelum dimulakan mesyuarat setiap penggal parlimen, menulis kepada ahli-ahli memberitahu tarikh-tarikh mesyuarat Majlis Mesyuarat bagi penggal itu”.

“Perlulah dibaca hingga habis dimana “Dengan syarat bahawa dalam keadaan memaksa yang ditentukan Tuan Yang di- Pertua, pemberitahuan tersebut boleh diketepikan, dan dalam keadaan demikian pemberitahuan bagi sepanjang tempoh yang mungkin hendak diberikan”.

“Begitu juga dengan Peraturan 11(2) “Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap- tiap penggal.

“Tarikh-tarikh majlis akan bersidang atau bermesyuarat dalam penggal itu. Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari masa ke semasa.

“Ini jelas menunjukan isu notis 28 hari yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu bukanlah penghalang untuk Dewan bersidang dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette