Orang ramai bergambar selepas menerima suntikan vaksin pada operasi hari pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pantas dan sistematik.

Itu diakui kebanyakan penerima yang hadir untuk sesi temu janji suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Stadium Nasional Bukit Jalil (PPV SNBJ) di sini hari ini.

PPV berskala mega itu dijangka mampu menerima kapasiti penuh dengan 10,000 suntikan sehari dalam masa seminggu lagi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati PPV berkenaan dilengkapi dengan ruangan parkir kenderaan luas, kemudahan bagi orang kelainan upaya (OKU), warga emas serta khemah yang lengkap dengan pendingin hawa.

Namun bukan itu sahaja, individu yang menerima vaksin di PPV tersebut juga berpeluang merakam gambar kenangan dengan berlatar belakang padang bola sepak yang luas – lokasi yang tidak ada di PPV lain.

Suasana tempat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada hari pertama beroperasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

Pakar kecantikan, Min Yoon, 38,  terkejut dengan kepantasan perkhidmatan di PPV itu apabila hanya memerlukan sekitar 25 minit sahaja untuk melengkapkan proses diperlukan.

Min Yoon. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

“Saya agak terkejut sebenarnya kerana sesetengah lokasi ada rakan beritahu kena tunggu dalam tempoh masa yang lama tapi apabila saya datang ke sini untuk terima suntikan vaksin memang berbeza.

“Segala proses berjalan dengan lancar dan cepat, bila dapat nombor giliran terus boleh pergi ke stesen konsultasi tanpa perlu menungga lama,” katanya yang turut memuji barisan petugas di PPV tersebut.

Mohandas Devadas. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

Sementara itu, peniaga, Mohandas Devadas, 40,  berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh sukarelawan dan petugas kesihatan di PPV tersebut.

Jelasnya, sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan stadium, dia hanya memerlukan masa sekitar 20 hingga 30 minit untuk melengkapkan dos pertamanya.

“Semuanya teratur dan sangat sistematik, memang sangat berpuas hati dengan segala proses yang berlangsung di sini.

“Setakat ini, saya masih tidak rasa sebarang kesan daripada suntikan yang diterima tetapi saya akan terus memantau tahap kesihatan diri sekiranya terdapat sebarang simptom selepas pulang ke rumah,” katanya.

Tambah Mohandas lagi, pada mulanya dia khuatir perlu beratur panjang kerana terlewat tiba selama sejam daripada masa temu janji yang dipaparkan pada aplikasi MySejahtera.

“Saya ingatkan hari pertama beroperasi keadaan di sini sesak dengan orang ramai tetapi sebaliknya yang berlaku kerana segala proses sebenarnya sangat cepat,” ujarnya.

Budi Kusuma Husmin. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

Sementara itu, menurut seorang kakitangan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Budi Kusuma Husmin, 41, pujian harus diberikan kepada kementerian yang terlibat kerana telah menyediakan fasiliti yang selesa untuk rakyat menerima vaksin.

“Alhamdullilah setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan memang terbaik segala proses dan fasiliti yang diberikan di PPV ini.

“Kalau ikutkan dari saya sampai sehingga lah tempoh berehat selepas terima suntikan, saya hanya memerlukan masa kurang dari 30 minit.

“Jadi saya juga menyeru kepada semua rakyat untuk terus menyokong program ini dan menerima suntikan masing-masing,” ujarnya.

Terdahulu Menteri Penyelaras Program Imunisasi CoviD-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, PPV SNBJ akan menjadi antara empat PPV mega yang mampu menampung kapasiti 10,000 suntikan sehari, di samping World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PPV SNBJ sasar 10,000 suntikan vaksin sehari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast