Seorang murid dipakaikan songkok oleh bapanya semasa membuat persiapan untuk kembali ke sekolah yang akan dibuka mulai 1 Mac ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2021.

SAMBUTAN Hari Bapa yang disambut di seluruh dunia pada hari ini telah disambut secara tidak rasmi di Amerika Syarikat pada 5 Julai 1908. Ia bermula daripada cadangan Jessica Clinton Clayton bagi pihak Memorial William Methodist Episcopal Church South yang mana tujuan asal ia disambut adalah bagi memperingati kematian 360 orang lelaki yang terkorban dalam tragedi letupan lombong arang batu yang terjadi tujuh bulan sebelum itu.

Namun individu sebenar yang telah meneruskan sambutan Hari Bapa ini ialah Sonora Louise Smart Dodd. Beliau adalah anak sulung daripada enam beradik dan dibesarkan oleh bapanya yang juga merupakan seorang bapa tunggal. Idea ini tercetus bilamana pada ketika itu hanya terdapat sambutan Hari Ibu yang disambut di gereja.

Sambutan Hari Ibu yang disambut pada waktu itu bertujuan untuk menghargai pengorbanan seorang ibu. Oleh itu, beliau merasakan adalah wajar untuk turut menghargai pengorbanan seorang bapa yang telah bersusah payah membesarkan anak-anak terutama sekali sekiranya individu tersebut merupakan seorang bapa tunggal. Disebabkan oleh kesungguhannya, Hari Bapa telah disambut sehingga ke hari ini
pada hari Ahad ketiga dalam bulan Jun bagi memperingati hari kelahiran bapanya.

Peranan mendidik dan membesarkan anak-anak secara amnya diletakkan di bahu seorang ibu kerana ibu dilihat lebih kerap berada di rumah berbanding seorang bapa. Manakala seorang bapa pula dilihat berperanan sebagai sumber utama dalam mencari nafkah bagi sesebuah keluarga.

Hakikatnya, apabila membicarakan soal tanggungjawab di dalam keluarga, walaupun bapa merupakan seorang ketua keluarga yang tugas utamanya adalah mencari rezeki, tidak dinafikan bahawa bapa juga perlu turut sama menggalas tanggungjawab dalam urusan membesar dan mendidik anak-anak.

Kajian daripada Father Involvement mendapati ikatan yang erat di antara seseorang anak dan bapa akan menghasilkan anak yang lebih cerdik berbanding dengan anak yang hanya rapat dengan ibu sahaja. Terdapat kajian lain yang menunjukkan bahawa anak perempuan yang rapat dengan ayah dapat mengelakkan diri daripada ‘ditipu’ oleh lelaki yang mereka jumpa sama ada dalam perhubungan jangka panjang mahupun jangka pendek. Ini jelas menunjukan walaupun tugas bapa lebih terarah kepada mencari rezeki namun bapa juga berperanan penting dalam mendidik anak-anak.

Peredaran zaman menyaksikan bahawa kaum ibu kini turut bersama-sama mencari rezeki. Maka, adakah wajar ibu bapa menyerahkan sepenuh tanggungjawab pendidikan anak-anak kepada pengasuh atau pembantu rumah yang menjaga anak-anak sementara mereka keluar bekerja? Pastinya tanggungjawab mendidik tidak dapat dilepaskan sewenang-wenangnya dan alasan penat bekerja tidak sepatutnya digunakan untuk menyerahkan tugasan menjaga dan mendidik anak-anak kepada salah seorang pasangan semata-mata.

Tindakan sebegini bukan sahaja mampu menjejaskan keharmonian rumahtangga, malah anak-anak juga akan merasakan terabai dan terpinggir malah ada di antara mereka yang turut merasa tertekan terutama sekali sekiranya mereka juga turut sering dimarahi dek kerana tekanan dan keletihan ibu bapa.

Seorang ibu mempunyai caranya tersendiri dalam membesar dan mendidik anak, kendatipun begitu seorang bapa juga seharusnya mengambil peluang dalam sama-sama membesarkan dan mendidik anak-anak. Natijahnya, anak-anak akan merasa lebih dihargai dan disayangi apabila keduanya memainkan peranan masing-masing. Masalah-masalah yang biasa dihadapi seperti masalah disiplin, masalah perhubungan, masalah sosial dan pelbagai masalah yang lain juga dapat dielakkan sekiranya kedua-dua ibu dan bapa mengambil perhatian terhadap anak-anak mereka.

Sejak Hari Bapa diraikan, kaum bapa juga turut berpeluang untuk merasa dihargai. Kesan
daripada itu, kaum bapa kini tidak lagi berasa atau kelihatan kekok melakukan tugasan yang biasanya dilakukan oleh para ibu seperti menggendong bayi atau menukarkan pampers anak. Ramai selebriti tanah air dan antarabangsa seperti pemain bola tersohor England, David Beckham dengan bangganya mendukung anak kecil mereka ketika keluar bersama keluarga.

Dalam Islam, peranan bapa adalah amat penting dalam pembinaan institusi kekeluargaan
bermula daripada proses pemilihan pasangan hidup berdasarkan pesan Rasulullah SAW
dalam hadis baginda yang berbunyi, “Perempuan dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang mempunyai agama, nescaya engkau akan bahagia.” Sepanjang kehamilan, seorang bapa juga bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan isteri dan anak di dalam kandungannya. Peranan dan tanggungjawab berterusan sehingga selepas kelahiran yang mana si bapa bertanggungjawab untuk membacakan azan dan iqamah di telinga anaknya.

Peranan bapa sebagai pendidik juga berterusan dengan mendidik anak-anak dengan ilmu
ketauhidan sebagaimana firman Allah di dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud :
“Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pengajaran kepada anaknya: Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman besar.” Di sini, nasihat pertama yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya tidak lain tidak bukan dengan memperkenalkan kepada Allah dan larangan kepada mempersekutukan Allah.

Didikan ilmu kepada anak-anak bersifat menyeluruh, ia bukan setakat ilmu yang kita belajar di sekolah seperti ilmu akademik atau ilmu agama malah ia mencakupi pelbagai aspek seperti ilmu mental, ilmu adab, ilmu rohani dan sebagainya.

Sempena Hari Bapa ini, diharapkan agar para bapa boleh terus menjadi contoh teladan yang terbaik untuk anak-anak. Ini kerana anak-anak lebih mudah mengikut apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dipelajari. Pendidikan melalui perbuatan adalah yang paling pantas untuk dicontohi anak-anak. Semoga para bapa berjaya menjadi idola anak anda!

Suryanti Sungib,
Akauntan dan pereka bebas,
Ahli WARAK Media Writers Pool.

Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar,
Setiausaha EXCO Wanita, Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast