Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) mengiringi seorang individu yang didapati positif COVID-19 untuk dibawa ke pusat kuarantin semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 31 MEI 2020.

KITA hidup di zaman yang mencabar. Pihak kerajaan bergelut untuk menamatkan pandemik Covid-19 tatkala pihak pembangkang gigih berjuang menuntut parlimen dibuka semula. Rakyat pula bertarung untuk kelangsungan hidup dengan roti kosong menjadi menu utama.

Ketika Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021, rakyat kena bijak dan bersedia untuk menyelamatkan diri dan negara.

Sidang Parlimen boleh bermula seawal September. Rakyat teruja untuk lihat bagaimana fungsi ‘semak dan imbang’ di parlimen ini boleh menurunkan jumlah kes Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Harapnya ia bukan janji manis untuk pancing undi rakyat sahaja.

Walaupun sudah lama tak mengeteh di kedai kopi, rakyat tahu buka parlimen tidak semudah membuka dewan dan duduk. Ia berkait rapat dengan peranan ahli-ahli Parlimen. Jadi, cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri atau ingin memegang kuasa sila tolak tepi jauh-jauh. Kena ingat, tanggungjawab besar menjaga nyawa dan kehidupan rakyat terletak di atas batu jemala ahli-ahli Parlimen sekalian.

Hari-hari rakyat berdoa supaya krisis kesihatan, ekonomi dan politik segera dipulihkan. Rakyat dah penat melayan konflik politik pusing-pusing macam drama TV Melayu jam 7 petang.

Fokus kita sentiasa untuk tamatkan episod Covid-19 kerana ia terus menerus menekan hidup rakyat. ‘Darurat kesihatan’ selama 156 hari terbukti dapat membina kestabilan politik negara. Keghairahan nafsu politik dapat dikekang sementara pihak kerajaan berusaha menurunkan statistik kes Covid-19.

Antara untungnya rakyat ketika ‘darurat kesihatan’ ialah dapat banyak bantuan, agihan makanan, vaksin, kewangan, kelulusan i-Sinar dan i-lestari Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion dengan RM128 bilion dari jumlah ini disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat. Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana pula dapat bantuan hingga RM100 bilion.

Sentiasa muncul di kaca TV seorang lelaki berumur 74 tahun ke sana ke sini berjumpa rakyat. Karektornya sesuai dengan slogan ‘kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi’. Tak dapat kita nafikan usaha kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin banyak bantu meringankan beban rakyat.

Rakyat ‘zaman now’ boleh semak di pakcik Google sahaja untuk dapatkan berita-berita bagaimana kerajaan bantu rakyat. Jumlahnya sangat mega!

Apa kita perlu buat?

Rakyat faham kes Covid-19 mudah diselesaikan apabila kerajaan kuat dan stabil. Justeru, tugas rakyat adalah pastikan segala usaha kerajaan dan petugas barisan hadapan tidak jadi sia-sia. Pastikan kita bijak dan tidak terjebak mengikut ahli politik yang bobrok dan pastikan rakyat terus bersemangat untuk selamatkan negara.

Kempen ‘Israel Koyak’ adalah bukti rakyat Malaysia memang luar biasa. Kumpulan ‘hacker’ dengan ‘tentera bawang’ adalah satu bukti di mana apabila rakyat bersatu maka tiada apa yang mustahil untuk dicapai.

Rakyat sudah tiada jalan lain. Kita wajib berani mengeluarkan cadangan dan sumbangan untuk selamatkan negara. Jadikan diri kita sendiri sebagai aset penting negara dan terus berjuang.

Kepada petugas barisan hadapan biarkan mereka fokus dengan tugas mereka. Sudah banyak beban yang mereka tanggung. Kita ada peranan lain untuk dibuat. Kita tuntut kerajaan buka ruang untuk rakyat dilibat sama.

Sebagai contoh, rumahtangga Pak Jabit sedang bergolak, anak-anak ramai sakit dan baki duitnya tinggal sedikit sahaja. Apabila keadaan Pak Jabit semakin kelelahan baru dia tersedar yang dia ke sana ke sini secara ‘one man show’ dan terlupa untuk melibatkan aset utamanya iaitu isteri dan anak-anaknya.

Begitu juga negara kita, yang ke sana ke sini adalah pihak kerajaan sahaja. Semua pasti setuju daripada kerajaan bergerak secara solo lebih baik bekerjasama dengan rakyat. Percayalah rakyat menanti untuk berkhidmat dan memberi kesan yang padu dan mantap.

Kerajaan perlu ‘berkahwin’ dengan rakyat bagi menambah keberhasilan. Maksud berkahwin ialah membina satu hubungan ‘kesepakatan bersama’ dengan misi jelas iaitu menamatkan krisis Covid-19 dan membuat kerja-kerja pemulihan negara.

Sediakan rakyat satu ekosistem kerja komuniti untuk rakyat sertai. Kerajaan harus mengaktifkan segala jentera di setiap kementerian dan jabatan untuk membangunkan Sistem Pengurusan Kolaborasi Komuniti Bersepadu yang berkesan.

Ia meliputi sistem perancangan, pentadbiran, operasi, penyampaian bantuan, komunikasi, pemantauan, pengurusan data, pelaporan dan sebagainya. Pembiayaan operasi adalah melalui dana awam secara ‘biaya sama’ oleh rakyat. Peranan kerajaan lebih kepada penyelaras dan menjadi pemudah cara.

Sesuai dengan idea ‘regenerasi’ atau penjanaan semula negara, konsep libatsama rakyat sangatlah penting untuk menyelamatkan Malaysia.

Setiap ahli politik yang melaksanakan idea ini adalah berciri seorang negarawan sejati kerana mendahulukan kesihatan awam berbanding keuntungan politik.

Adat berkahwin pastinya akan mencari kebahagiaan walau dalam kesusahan. Betapa indahnya apabila negara diasaskan dengan kasih sayang. Kerajaan jaga rakyat, rakyat jaga rakyat dan rakyat jaga kerajaan.

Oleh: Mohd Salehudin Sukor
Presiden
Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam
(USIM)