Polis melakukan pemeriksaan SOP di sebuah kilang di Butterworth Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Kilang pembuatan barangan plastik di Taman Kerapu di sini dikompaun selepas didapati memalsukan butiran dengan mengisytiharkan operasinya sebagai perniagaan perkhidmatan perlu ketika Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown) berkuatkuasa.

Taktik penipuan pemilik kilang itu terbongkar selepas sepasukan polis melakukan Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekitar Butterworth jam 9.30 pagi tadi.

Susulan itu, kompaun berjumlah RM20,000 dikeluarkan kepada pemilik kilang atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemilik kilang itu mengisytiharkan pihaknya menghasilkan barangan perubatan bagi mendapat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Jelas beliau, selain kompaun tipu kebenaran operasi berjumlah RM10,000 polis turut mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap pemilik kilang kerana gagal memastikan imbas kod QR MySejahtera.

“Dalam operasi sama, pihak polis turut menahan dua pekerjanya kilang yang didapati tidak imbas kod MySejahtera malah, pemeriksaan lanjut juga mendapati dua lelaki warga Indonesia itu gagal mengemukan dokumen perjalanan yang sah.

“Kedua-dua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pihak polis melakukan pemeriksaan SOP di sebuah kilang di Butterworth hari ini.

“Selain itu, pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut mengeluarkan kompaun ke atas pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Noorzainy menasihatkan orang ramai termasuk pemilik kilang untuk terus mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Pihak polis akan melaksanakan operasi pematuhan SOP dengan kerjasama pelbagai agensi dari semasa ke semasa,” tegas Noorzainy. – MalaysiaGazette