KUALA LUMPUR – Peniaga restoran ‘dine-in’ di negara ini mungkin terpaksa gulung tikar dan berdepan dengan bankrap susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pemilik restoran India Gate, Saravanan Subramaniam berkata, tahun ini sahaja sudah empat kali restoran miliknya terpaksa ditutup.
”Ini bukan kali pertama kerajaan minta kami tutup restoran tetapi tahun ini sahaja sudah empat lagi, sekejap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lepas itu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Arahan ini membawa maksud operasi restoran kami secara perlahan-lahan akan mati atau bankrap, sekarang ini pun ramai sudah lingkup,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sebagai peniaga, Saravanan memahami nyawa dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan negara daripada terdedah dengan pandemik Covid-19 namun jika tidak ada langsung penyelesaian berkesan pastinya ‘gulung tikar’ adalah pengakhiran kepada para peniaga.
Saravanan kecewa dengan situasi semasa kerana restoran berkonsepkan ‘dine in’ yang telah diusahakan dengan hasil simpanan berniaga di pasar borong selama berpuluh tahun mungkin akan ‘jatuh’ jika PKP berterusan.
“Masa PKP 1.0 pendapatan memang menyusut dan disusuli pelaksanaan PKP 2.0, saya baru nak bangkit semula, namun terpaksa berhadapan dengan krisis PKP 3.0 yang jauh lebih teruk.
“Ini bukan seperti PKP yang pertama. Ketika itu peniaga dapat moratorium automatik, jadi pemilik bangunan tempat sewa kedai juga diskaun 50 peratus, bank juga tidak kejar kami, tiada tekanan. Ada juga bagi pengecualian pada masa itu.
“Tapi kali ini (PKP 3.0) begitu teruk sehingga rasanya industri akan mati dan lingkup tidak lama lagi, bayangkan sehingga hari ini, sudah 46 hari restoran tidak dibenar ‘dine in’ tapi bungkus sahaja.
“Kamu sendiri bayangkan apa akan jadi pada kami kalau ini berterusan? Jika PKP bersambung bagaimana?,” luahnya sambil menyatakan kerajaan sepatutnya ada perancangan teliti dan tersusun kepada para peniaga, selain menawarkan insentif dan inisiatif.
Saravanan mendedahkan bukan mudah untuk berunding dengan bank kerana karenah birokrasi termasuk pelbagai syarat dikenakan untuk memohon moratorium bersyarat.
”Ingat senang hendak ‘deal’ dengan bank? Hari-hari telefon tekan kami.
“Hendak mohon apa-apa yang didakwa oleh kerajaan juga sukar, kerenah birokrasi dan segala macam. Macam mana kami hendak meneruskan kelangsungan berniaga jika kebenaran hanya dari 8 pagi hingga 8 malam,” ujarnya yang memberitahu restorannya yang berkonsepkan makanan utara dan selatan India itu turut menggajikan warga asing dari India.
Ini menyebabkan beliau terpaksa berbelanja besar mendapatkan permit, sediakan asrama dan lain-lain.
Saravanan menambah, sejak PKP 3.0, dia terpaksa bayar gaji separuh dan pastikan mereka duduk dalam asrama.
“Selain itu saya perlu menanggung kos makan minum mereka sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Apabila keadaan berlarutan rata-rata mereka mahu pulang ke negara asal atau cari tempat lain yang bayar tinggi.
“Kalau ini berlaku bermakna selepas tamat PKP, saya terpaksa berbelanja lagi cari pekerja.
”Sudahlah kami rugi dan tidak dibantu. Adakah ini adil?,” soalnya. – MalaysiaGazette