Gambar hiasan

MATA merupakan organ yang kerap tercedera ketika melakukan aktiviti bersukan. Di
Amerika Syarikat, sebanyak 40,000 kes kecederaan mata ketika bersukan dilaporkan setiap tahun di mana 90 peratus kes tersebut boleh dielakkan jika langkah-langkah pencegahan yang betul diamalkan. Dilaporkan juga sebanyak 30 peratus kecederaan mata pada mereka di bawah umur 16 tahun adalah disebabkan aktiviti bersukan.

Kegiatan bersukan boleh dikategorikan kepada tahap berisiko tinggi atau rendah yang membawa kepada kecederaan mata. Sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki,
badminaton, tenis, golf serta sukan seni bela diri adalah bentuk sukan berisiko tinggi,
manakala aktiviti seperti berlari, berenang, berbasikal serta gimnastik adalah sukan berisiko rendah.

Walau bagaimanapun, sukan seperti hoki ais yang diklasifikasikan sebagai berisiko
tinggi kurang dilaporkan kecederaan berkaitan mata kerana peraturan memakai alat
pelindung muka pada semua pemain berjaya memelihara organ tersebut daripada
tercedera. Alat pelindung muka atau mata yang disaran untuk digunapakai oleh pemain sukan berisiko tinggi haruslah memberi keselesaan tanpa menjejaskan kualiti bahan alat tersebut.

Ianya perlu diperbuat daripada bahan seperti polycarbonate di mana ia cukup keras dan
mampu mengalih impak dari bahagian muka dan kepala. Alat-alat tersebut juga perlu
dipastikan mematuhi standard piawaian yang ditetapkan supaya ianya benar-benar dapat
memelihara bahagian muka dan kepala daripada kecederaan. Trauma kepada mata biasanya berlaku apabila objek tumpul menghentak permukaan mata dengan kadar kelajuan yang tinggi lantas menyebabkan impak yang tinggi pada bebola mata. Tulang lantai orbit (soket bebola mata) boleh retak lalu menjerut isi kandungan orbit yang terkeluar melaluinya.

Struktur mata seperti konjunktiva, kornea, iris, retina, dan saraf optik juga boleh berdarah dan tercedera, di samping bebola mata yang boleh pecah. Kadar kecederaan turut bergantung kepada saiz objek serta tahap kekerasannya, dan juga kadar kelajuan trauma tersebut. Selain itu, luka disebabkan objek tajam juga boleh mencederakan mata. Bahan seperti kaca yang pecah atau batu kerikil halus mampu melukakan kelopak mata serta menembusi bebola mata, lebih-lebih lagi jika ia terpantul dengan kelajuan yang tinggi. Walau bagaimanapun, kes-kes seperti ini kurang dilaporkan berlaku berbanding trauma disebabkan objek yang tumpul.

Bagi sukan profesional dan juga amatur, pihak penganjur perlulah memastikan para
atlet telah melalui ujian saringan penglihatan serta pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan mereka dapat beraksi dengan baik, lantas mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Ujian ketajaman penglihatan, medan penglihatan, fungsi motor serta pemeriksaan mata yang lengkap adalah digalakkan, dan jika terdapat keraguan atau keadaan tidak normal daripada saringan tersebut, atlet perlu dirujuk kepada pakar mata terlebih dahulu sebelum dibenarkan bersukan.

Bagi jenis sukan rekreasi pula, orang awam juga dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat awal doktor jika mengalami gejala-gejala yang melibatkan masalah  penglihatan.  Semasa bersukan, jika berlaku kecederaan seperti yang dinyatakan sebelum ini, pemain tersebut harus dirujuk kepada doktor mata dengan kadar yang segera. Ini adalah penting kerana sesetengah kecederaan perlu dirawat dalam kadar masa segera bagi mengelak daripada mata tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik pada masa hadapan.

Kelewatan dalam mendapatkan rawatan boleh menjejaskan kadar boleh melihat dengan
baik selepas trauma, lantas pemain tersebut berkemungkinan tidak dapat kembali beraksi
semula untuk bersukan. Justeru itu, pihak penganjur sukan perlu memastikan terdapat
pasukan perubatan yang berkemahiran serta dilengkapi dengan alat dan ubat-ubatan yang mencukupi bagi memberi rawatan awal kepada atlit sebelum dibawa ke fasiliti kesihatan yang terdekat.

Bagi pemain yang telah menjalani rawatan serta hadir ke temujanji susulan bersama
doktor mata, kebenaran untuk kembali bersukan boleh diberikan jika fungsi penglihatan
pemain tersebut berada pada kadar optimum. Namun begitu, pemain haruslah mematuhi
langkah-langkah pencegahan yang dinasihatkan bagi mengelak kecederaan mata berulang semula.

Deria penglihatan merupakan anugerah Tuhan yang sangat berharga. Oleh itu,
kesederaan perlu dipupuk kepada orang awam serta pemain amatur dan profesional bagi
memelihara organ tersebut sebaiknya ketika menjalani aktivit bersukan, tidak kira sama ada ianya berbentuk rekreasi ataupun profesional.

Dr. Syamil Salmi, Pakar Oftalmologi