Suasana pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Gombak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 83 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari berbanding 77 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tambah beliau, daripada jumlah kematian hari ini, 77 kes melibatkan warganegara dan baki enam bukan warganegara meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

“Selangor tertinggi dengan 35 kes, sembilan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lapan kes di Johor, masing-masing tujuh kes di Sabah dan Negeri Sembilan, enam kes di Kelantan, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, dua kes di Perak, serta masing-masing satu kes di Kedah, Melaka, dan Perlis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jumlah kumulatif kes meninggal dunia kini meningkat kepada 4,637 kes, ujarnya.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes kematian tertua melibatkan seorang warga emas wanita berusia 93 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang tanpa rekod penyakit.

Korban termuda adalah melibatkan lelaki berusia 26 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang mempunyai rekod penyakit darah tinggi dan dislipidemia, ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 24 kluster baharu Covid-19 pada hari ini.

Daripada jumlah itu, Dr. Noor Hisham berkata, 15 daripadanya adalah Kluster Tempat Kerja, tujuh Kluster Komuniti dan masing-masing satu Kluster Kumpulan Berrisiko Tinggi dan Pusat Tahanan.

Kluster Nanga Tada (Kluster Komuniti) di Sarawak mencatatkan kes positif tertinggi dengan 107 kes, diikuti Kluster Jalan Enam Selatan Dua (Kluster Tempat Kerja) di Selangor dengan 92 kes, tambah beliau. – MalaysiaGazette