Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Permohonan bekas penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk merujuk empat persoalan undang-undang terhadap Perdana Menteri ke Mahkamah Persekutuan ditolak Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia merujuk kepada keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin menolak permohonan itu tanpa perintah kos selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan semasa prosiding dalam talian hari ini menerusi aplikasi Zoom.

Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dan S Narkunavathy.

Noorin juga menetapkan 24 Ogos ini untuk permohonan dua defenden membatalkan saman pemula.

Khairuddin dalam saman pemulanya terhadap Muhyiddin dan kerajaan selaku defendan bagi mencabar tindakan perdana menteri itu menasihati YDPA berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan Covid-19.

Hujah peguam Khairuddin, Muhammad Rafique Rashid Ali secara bertulis bahawa pihaknya menyatakan keempat-empat persoalan keperlembagaan itu adalah kabur yang mewajarkan satu penentuan secara jelas oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Pada hari itu, Muhyiddin dalam perutusan khasnya berkata, Jemaah Menteri telah menasihati YDPA untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette