Presiden Persatuan Peniaga Dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman bercakap pada sidang media mengenai isu Pusat Sembelihan Ayam Bersepadu Selayang di Restoran Ali Kafe Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan kemudahan moratorium automatik selama setahun tanpa sebarang karenah birokrasi.

Presidennya Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, tempoh setahun itu memadai untuk memastikan peniaga bertahan sehingga kes Covid-19 dapat dilandaikan.

Katanya, sehingga hari ini beliau menerima banyak keluhan daripada peniaga dan penjaja yang semakin ‘tenat’, dihimpit hutang keliling pinggang akibat tidak boleh berniaga akibat Perintah kawalan Pergeraka (PKP) 3.0.

Rosli khuatir, para peniaga domestik tidak akan bertahan lebih lama, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum nampak reda.

Katanya, moratorium automatik sekurang-kurangnya diberikan dalam tempoh setahun kerana sehingga di saat ini kita tidak tahu bila pandemik ini berakhir dan program vaksinasi pun nampaknya lambat dalam meredakan keadaan rakyat.

“Moratorium tiga bulan tidak cukup.

“Peniaga bukan sahaja berhutang dengan bank tetapi ada tanggungan lain,” katanya.

Mengulas keadaan peniaga tempatan yang tenat, Rosli mendakwa ada peniaga yang sudah tidak mempunyai wang untuk berbelanja dan terpaksa meminjam.

“Peniaga sekarang memang sangat tenat, sampai bila boleh bertahan kalau sudah mula meminjam.

”Ada yang pinjam RM100 antara satu sama lain kerana wang untuk makan pun sudah tidak ada sebab tidak dapat berniaga,” tambah beliau.

Rosli yakin pemberian moratorium automatik tanpa birokrasi boleh dilaksanakan dengan kerjasama di antara Kementerian Kewangan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.

Kementerian kewangan katanya, boleh mendapatkan data peniaga yang berdaftar daripada PBT seterusnya meluluskan moratorium tanpa proses yang menyukarkan golongan berkenaan.

“Kalau kerajaan nak bagi (moratorium) kepada peniaga salurkan kepada PBT, mereka ada semua data peniaga, jadi tidak perlu lagi permohonan yang akhirnya ditolak.

“Nak kenal pasti peniaga pun tidaklah sukar, kita kan ada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), boleh kenal pasti daripada sistem untuk kita beri moratorium. Sebab sekarang iniĀ  PKP 3.0 ini bukan peniaga Melayu sahaja, peniaga Cina, peniaga India juga terjejas,” tegasnya.

Rosli dalam masa yang sama memohon pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat-peringkat seiring dengan program vaksinasi yang dilaksanakan.

Jelasnya, adalah tidak wajar untuk kerajaan terlalu bergantung dengan proses vaksinasi tanpa melaksanakan pembukaan sektor ekonomi secara berfasa-fasa.

“Kena ada keseimbangan kerana kerajaan perlu ada penetapan jumlah vaksinasi dengan sasaran pembukaan sektor ekonomi,” tambah beliau. – MalaysiaGazette