Haruskah pertukaran kerajaan pada masa ini? Hentikanlah kisah ini. Lupakan sejenak kisah peralihan kuasa dan pilihan raya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Akhir-akhir ini, angin bertiup kencang pertukaran kerajaan Malaysia bakal berlaku lagi.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, rakyat Malaysia mahukan perubahan.

Rakyat membuang undi dengan harapan mahu melihat perubahan struktur pentadbiran negara ketika itu.

Apa nak risau, lima tahun sahaja. Tak bagus, hukumannya pada pilihan raya seterusnya. Itu pemikiran rakyat pada masa itu.

Selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang menang bergaya pada PRU14 dilanda krisis dalaman.

Desakan demi desakan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri dan diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuatkan PH kecundang tidak sampai sepenggal.

Langkah Sheraton ketika ‘drama’ tesebut dikatakan telah menyelamatkan rakyat Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sokongan selepas kesemua Ahli Parlimen menghadap Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al Mustaffa Billah Shah.

Akhirnya beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke lapan.

Tertubuhlah, Kerajaan Perikatan Nasional (PN), gabungan di antara serpihan Bersatu, BN dan Pas.

Saat beliau duduk di kerusi Perdana Menteri, ketika itulah pandemik Covid-19 berada di kemuncak dan sangat membimbangkan.

Kes harian semakin meningkat. Kadar kematian dan kluster baharu juga amat menakutkan rakyat.

Akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Satu perkara baharu buat kita di Malaysia.

Dua minggu terkurung di rumah. Ternyata usaha itu berjaya menurunkan kadar kes tetapi, ini pandemik. Melawan dengan musuh yang tidak nampak.

Ketika itu, pembangkang terus menyalahkan PN kerana gagal mengawal. Bermula juga episod drama bersiri mengenai vaksin dan kegagalan PN mengawal ekonomi dan membantu rakyat.

Semua mata tertumpu kepada Muhyiddin bersama menteri-menteri Kabinet.

IMBAS KEMBALI.Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar (tengah) bersama Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor (tempat kiri) menjulang tangan bersam barisan kepimpinan BN dan Bersatu pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-Pemimpin BN dan PN (BERSATU) sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di The Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabah pada  10 September 2020.

Satu persatu rekod kesalahan dicatatkan. Pilihan Raya Umum Sabah yang dilaksanakan ketika pandemik ini telah menjadikan keadaan semakin tidak terkawal.

Tidak hanya itu, menteri-menteri yang dibenar ke luar negara kemudian pulang tidak dikuarantin. Ada yang kuarantin tetapi tidak cukup tempohnya.

Rekod kesalahan PN semakin bertambah.

Rakyat semakin sengsara kerana PKP telah menyusahkan mereka. Gaji dipotong, ada yang dibuang kerja, cuti tanpa gaji, bisnes tutup, kilang bungkus dan banyak lagi.

Belum dibuka kisah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang menyukarkan golongan pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri.

Semua terkesan. Apa kesudahannya?

Jika pada awal-awal PN ditubuhkan hanya PH yang menentang. Tetapi, hari ini gabungan PN juga seolah-oleh sudah tidak betah bersama pasukan Muhyiddin lagi.

UMNO khususnya yang mempunyai 38 Ahli Parlimen dilihat sudah berpecah dua sokongan antara Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermulalah episod drama bersiri wakil-wakil rakyat negara kita.

Kasihan rakyat, yang diangkat ketika PRU-14 sudah digulingkan dan tidak kurang dakwaan itu balasan kerana ketamakan sendiri juga.

Terkini khabar angin terus bertebaran apabila surat ‘kudeta’ oleh sebahagian pemimpin utama negara ini.

Biar pun sudah dinafikan, namun adakah ini yang rakyat mahukan?

Ada Ahli Parlimen berjanji tidak akan ada usul undi tidak percaya jika Parlimen dibuka sebaliknya mahu fokus kepada isu pokok. Covid-19, kesihatan, ekonomi dan pendidikan.

Janji mereka, bersidang hanya mahu mencari solusi membantu rakyat.

Tetapi, biasanya cakap di luar Dewan tidak sama dengan cakap di dalam Dewan. Lagi-lagi apabila semua tengok grup Whatsapp masing-masing.

Rakyat hanya mahu nasib mereka dibela. Renung-renungkan kembali, isu gajet yang tidak cukup, bilangan pesakit mental meningkat, ramai memilih jadi gelandangan, moratorium yang bersasar tetapi tersasar dan banyak lagi yang perlu difikirkan.

Rakyat benar-benar sakit. Tidak perasankah ketika pak menteri membuang sisang media, komen-komen yang diterima kebanyakannya kritikan yang menghina bukan membina.

Rakyat juga bukan sahaja muak bahkan ada yang sudah mengugut untuk boikot pilihan raya akan datang.

Menurut statistik, pada PRU-14 seramai 14,940,624 yang menjalankan tanggungjawab membuang undi.

Barangkali akan ada pertambahan pengundi kerana pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Ia telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada PRU15, menjelang 2023 berpandukan Perkara 55(3) Perlembagaan.

Oleh itu, jalankan tanggungjawab kepada rakyat dahulu.

Haruskah pertukaran kerajaan pada masa ini? Hentikanlah kisah ini. Lupakan sejenak kisah peralihan kuasa dan pilihan raya.

Berdamailah untuk kebaikan ummah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast