Pengarah KDNKA, Datuk Zainal Abidin Kasim (tengah) menujukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor hari ini.

KEPALA BATAS – Polis merampas rokok seludup bernilai RM13.8 juta dalam serbuan Ops Kontraban di dua buah gudang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini semalam.

Risikan selama dua bulan yang dilakukan sepasukan polis dari cawangan perisikan dan siasatan khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) itu turut membawa kepada penangkapan lima suspek berusia lingkungan 36 hingga 63 tahun.

Pengarah KDNKA, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya merampas kira-kira 18.5 juta batang rokok seludup yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Zainal Abidin (dua dari kiri)menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas pihak polis.

Hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menyeludup masuk rokok itu melalui jalan laut sebelum ditempatkan di dalam gudang kosong.

Tegas Zainal Abidin, siasatan juga mendapati suspek yang diberkas itu merupakan saki baki ahli sindiket penyeludupan rokok yang ditangkap sebelum ini.

“Sindiket berkenaan didapati menjual rokok seludup di kawasan pantai barat serta utara tanah air dan kita percaya mereka kini dalam proses mengembangkan pasaran ke Pantai Timur.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas wang tunai RM2,200, empat buah lori, dua kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa rokok seludup ke negeri lain.

“Secara keseluruhan nilai rampas termasuk kenderaan berjumlah RM14.16 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi penghantaran ke negeri lain, Zainal Abidin Kasim berkata, sindiket menggunakan kenderaan perdagangan membawa barangan keperluan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh Perintah Pergerakan Kawalan.

Mereka berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku untuk mendapatkan surat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), katanya.

Zainal Abidin menunjukkan lori membawa makanan sejuk beku yang digunakan suspek untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita tidak menolak kemungkinan mereka mampu melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) susulan menggunakan kenderaan perdagangan selain syarikat yang didaftarkan mempunyai surat kebenaran beroperasi.

“Siasatan mengenai apa kaitan sindiket dengan syarikat tersebut masih dalam siasatan,” ujar beliau.

Tambah Zainal Abidin, kesemua suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette