Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shary ketika menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 di (JAKIM) Putrajaya. Foto FIKRI YAZID,16 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR –  Tindakan tegas secara bersepadu bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) khususnya di media sosial akan dilaksanakan dengan segera.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Task Force Menangani LGBT hari ini, sebagai komitmen kerajaan dalam menangani masalah itu.

Tindakan tersebut antara lain ialah mengenal pasti kekangan yang dihadapi pihak penguat kuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu serta mencadangkan pindaan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri.

“Ia bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, antara tindakan lain ialah menghasilkan satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan bertulis secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT.

Mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Ahmad Marzuk itu diurussetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan turut melibatkan beberapa agensi termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Ahmad Marzuk berkata, mesyuarat khas itu diadakan bagi membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month apabila gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.

“Justeru, kami mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT yang tiada tapisan terhadap kandungan video berkaitan hubungan sejenis itu, malah ia giat disebarkan,” katanya.

Ahmad Marzuk turut mendakwa kumpulan aktivis LGBT bersikap dwistandard kerana hanya memperjuangkan isu secara terpilih yang menguntungkan pihak mereka.

“Pengantunan seksual ataupun sexual grooming terhadap kanak-kanak di bawah umur yang didakwa telah dilakukan oleh seorang transgender di media sosial beliau, yang mungkin boleh menjurus kepada perlakuan pedofilia, tidak pula diperjuangkan oleh kumpulan aktivis LGBT,” katanya.