Lebih 36 juta penduduk Malaysia sidah menerima vaksin sehingga semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menjangkakan pemberian vaksin kepada semua penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mampu dicapai sehingga 80 peratus, menjelang Ogos ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan langkah itu, usaha untuk mewujudkan komuniti kelompok di peringkat Wilayah Persekutuan akan lebih cepat dicapai malah mendahului Pelan Pemulihan Negara.

“Walaupun untuk peringkat nasional, 80 peratus itu pada fasa keempat menjelang Disember tahun ini, tetapi untuk Wilayah Persekutuan Labuan sahaja akan mencapai tahap 80 peratus vaksinasi pada Julai ini.

“Ogos, September, November dan Disember, bererti empat bulan lebih awal daripada sasaran nasional. Malah Labuan akan menjadi kawasan pertama yang mencapai 80 peratus vaksinasi menjelang bulan depan,” katanya pada sidang media khas, baru-baru ini.

Annuar juga menjangkakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula akan mencapai imuniti kelompok atau vaksinasi menjelang awal Ogos ini.

“Ini kerana apabila kita mencapai tahap imuniti kelompok lebih awal, kita berharap proses pemulihan kegiatan ekonomi, pentadbiran kerajaan, aktiviti komersil akan dapat mendahului Pelan Pemulihan Nasional,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media pada satu sidang media khas mengenai Pelan Pemulihan Negara ketika di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2021.

Jelasnya, keupayaan Wilayah Persekutuan yang mempunyai sumber mencukupi membolehkan usaha pemulihan daripada pandemik Covid-19 mampu dicapai lebih awal.

“Ini merangkumi keuapayaan kita untuk menurunkan kes-kes positif, mempercepatkan proses vaksinasi dan kemudahan-kemudahan hospital.

“Berdasarkan ketiga-tiga faktor itu, saya merasakan Wilayah Persekutuan mempunyai sumber dan keupayaan, maka kita berani untuk membuat program mempercepatkan pelan pemulihan ini,” katanya.

Sebelum ini, kes baharu atau positif Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masing-masing menunjukkan tren penurunan, setakat 22 Jun lalu.

“Selasa lalu menunjukkan penurunan kes positif di Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing, sebanyak 635 dan tujuh kes. Bagi kes di Labuan pula, kes positif sebanyak 104 kes,” katanya.

Lebih membanggakan kata Annuar apabila kadar pendaftaran vaksinasi dalam kalangan penduduk di Wilayah Persekutan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kin sudah mencecah 100 peratus setakat 21 Jun lalu.

“Jumlah penerima vaksin di Kuala Lumpur adalah sebanyak 56.16 peratus, bagi dos pertama dan 10.82 peratus bagi dos kedua.

“Bagi Putrajaya pula, jumlah peratusan penerima sebanyak 50.34 peratus bagi dos pertama dan 30.81 peratus bagi dos kedua.

“Bagi jumlah yang mendaftar di Labuan pula telah mencapai sebanyak 78.74 peratus dan pemberian vaksin adalah sebanyak 45.15 peratus bagi dos pertama dan 18.77 peratus bagi dos kedua.

Tambah Annuar, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka mampu mencapai 50,000 suntikan pemberian vaksin harian menjelang Julai 2021.

“Jumlah ini dapat dicapai melalui 124 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sedang beroperasi ketika ini iaitu tiga buah PPV Mega, sebuah PPV Awam, 11 Mobile Vaccine dan 109 PPV lain termasuk klinik swasta, hospital swasta.

“Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini melibatkan proses pemvaksinan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam, DBKL, kampung-kampung tradisi, industri, pasar borong dan penempatan gelandangan di Kuala Lumpur,” katanya.

Orang ramai beratur dan menunggu giliran pada Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR)Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

Menurut Annuar lagi, jumlah penduduk yang divaksinkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga telah meningkat dari 7,000 dos sehari kepada 35,789 dos sehari.

“Di Putrajaya pula, jumlah pemberian dos telah ditingkatkan dari 1,000 dos sehari kepada 1,800 dos sehari. Manakala Labuan turut meningkat, dari 700 dos kepada 3,000 dos sehari,” jelasnya.

Setakat 21 Jun lalu, sebanyak 30,989 bagi dos pertama dan 4,679 dos kedua jumlah suntikan harian, manakala di Putrajaya pula, jumlah suntikan harian adalah sebanyak 808 bagi dos pertama dan 788 bagi dos kedua.

“Bagi Labuan, jumlah kumulatif suntikan vaksin sehingga 21 Jun 2021 telah mencapai 32,687 bagi dos pertama dan 13,591 bagi dos kedua,” katanya lagi . -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast