KLANG – Sebaik sahaja bekalan vaksin tiba, ia akan terus di hantar ke setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang memerlukan tanpa berlengah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menegaskan, ia perlu bagi mahu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan dengan lancar.
Sehingga kini kapasiti penggunaan bekalan vaksin seluruh negara mencecah 90 peratus kerana proses pemberiannya sentiasa berjalan.
Justeru beliau meminta semua pihak bersabar berhubung isu pemberian vaksin.
“Semua sasaran ini berdasarkan kepada bekalan, semua kementerian minta, yang ini minta, bekalan akan tiba, saya tidak menangguhkan pemberian vaksin, vaksin itu sampai sahaja saya hantar, kita dapat notis daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terus hantar kepada PPV-PPV.
“Kita punya vaksin utilization sekarang mencecah 90 peratus, 100 vaksin sampai 90 diguna untuk tempoh beberapa hari 10 lagi kita simpan temu janji akan datang.
“Jadi soal bila nak selesai, bila nak selesai… Sebaik sahaja bekalan vaksin tiba memang diberi terus ke PPV,” katanya ketika sidang media bersama dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong selepas melawat PPV pengangkutan pertama di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang hari ini.
Malah menurut Khairy, ada PPV yang sudah kehabisan vaksin kerana proses pemberian yang cepat dan cekap.
“Sekarang ada sampai tahap PPV tidak banyak vaksin lagi dalam simpanan dan mula cemas bila bekalan tiba,” tambahnya.
Untuk rekod, sebelum ini, Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK mendakwa, tindakan negara kaya seperti Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat ‘membolot’ bekalan vaksin Covid-19 menyebabkan negara lain termasuk Malaysia lambat menerima bekalan itu hingga menjejaskan usaha mempercepat kadar vaksinasi kepada penduduk.-MalaysiaGazette