Wee Ka Siong

KLANG – Menteri Kewangan (MOF) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membuat penjelasan berkenaan status Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Demikian kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong apabila ditanya tentang status terkini LTSAAS selepas didakwa bakal dijual atau dipajak.

Dalam masa yang sama, beliau meminta semua pihak merujuk kenyataan kementerian berkenaan pada 7 Mei lalu.

“Sila baca kenyataan kementerian pengangkutan bertarikh 7 Mei, itu tetap lagi sahih.

“Kedua, apa juga status ini saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan banyak laporan yang dipetik sana sini dan beliau sendiri akan memberi penerangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berdasarkan kenyataan bertarikh 7 Mei, Kementerian Pengangkutan berkata adalah menjadi kebiasaan bagi pasaran untuk mengemukakan kertas cadangan kepada pihak kerajaan melalui Kementerian berkaitan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada.

Jelas kenyataan itu, dalam kes LTSAAS merupakan kemudahan penting dan pusat bandar utama bagi penduduk Lembah Klang, ia memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik demi masa depan lanskap penerbangan Malaysia.

Justeru kementerian berkata, sebarang cadangan untuk membangunkan semula LTSAAS, masih berada pada peringkat awal dan sebarang pertimbangan serta keputusan akhir akan diputuskan oleh Kabinet.

Baru-baru ini dilaporkan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dikatakan sudah mengemukakan pelan rancangan strategi komprehensif bagi pembangunan jangka masa panjang LTSAAS kepada kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, menjelaskan bahawa rancangan itu akan dilaksanakan berdasarkan kepada penanda aras dan pembabitan pihak berkepentingan dan turut dipantau oleh badan bebas.

Bulan lalu, ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim dikatakan merancang untuk mengambilalih LTSAAS Subang membabitkan nilai RM3.7 bilion.

Desmond yang juga pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Bhd dilaporkan menggunakan anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambilalih dan mengendalikan lapangan terbang itu hingga 2092.-MalaysiaGazette