Petugas sukarelawan QueueMed membantu warga emas dan orang awam yang hadir mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2021.

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan menaikkan kadar elaun kepada lebih 19,000 sukarelawan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC) di seluruh negara merupakan berita gembira buat petugas barisan hadapan itu.

Kenaikan saguhati berkenaan dari RM50 kepada RM100 sehari bermula bulan ini disambut baik kerana dapat meringankan beban sukarelawan yang turut terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di PPV di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini mendapati, rata-rata sukarelawan yang ditemui sangat teruja dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin ketika ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Halimatul Sa’adiah Abd Razak

Menurut salah seorang sukarelawan yang terawal bertugas sejak di PPV IDCC dibuka pada 24 Mei lalu, Halimatul Sa’adiah Abd Razak, 47, pemberian elaun sangat bermakna kepada golongan yang memerlukan apatah lagi yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Ia satu cadangan yang baik terutama sekali untuk mereka yang memerlukan, saya sendiri sukarelawan sepenuh masa, saya juga seorang guru, bererti saya penjawat awam yang tidak mendapat sebarang ganjaran langsung.

“Tapi saya berada di sini atas kapasiti hendak membantu dan saya ada masa terluang dan saya sudi membantu kawan-kawan saya untuk melaksanakan program vaksin ini.

“Saya rasa memang perlu dinaikkan elaun untuk mereka yang masih belajar ataupun mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19, dengan ada elaun ini banyak membantu mereka ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Viven Rao

Bagi seorang lagi sukarelawan, Viven Rao, 28, keputusan kerajaan menaikkan elaun kepada petugas barisan hadapan dilihat sebagai satu penghargaan kepada usaha dan pengorbanan mereka melancarkan proses vaksinasi.

“Perkara itu amat baik, sebab kebanyakan sukarelawan di sini, kami bertugas seperti mewakili kerajaan, nama saja sukarelawan tapi kerja yang kita lakukan di sini tak ubah seperti penjawat awam.

“Pemberian elaun itu memang menunjukkan kerajaan menghargai apa juga yang dilakukan sukarelawan, ia memang memadai dan inisiatif itu membuatkan kami lebih bersemangat untuk terus bertugas.

“Apatah lagi ramai yang kehilangan pekerjaan ketika musim pandemik ini, elaun itu memang baik kepada sesiapa yang masih tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.

Dawson Chong

Bagi Dawson Chong, 20, dengan pemberian elaun itu boleh menggalakkan orang ramai yang tiada pekerjaan untuk menyertai dan menjadi sukarelawan di PPV di seluruh negara.

“Saya sangat gembira kepada kerajaan, jika elaun saya semakin tinggi, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan kita yang mengambil inisiatif dan ia sangat bagus.

“Ini kerana ramai rakyat Malaysia sekarang tiada pekerjaan dan kita nak bantu semua orang ini, malah saya juga mahu beritahu kawan-kawan saya di seluruh negara, jika anda tiada pekerjaan, mohonlah untuk menjadi sukarelawan di PPV,” katanya.

Kishen Velu

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan yang bertugas hampir sebulan di PPV IDCC, Kishen Velu, 21, pemberian elaun dari RM50 kepada RM100 kepada petugas sepertinya sangat memadai.

“Bagi saya elaun itu sudah cukup, kerana kerja di sini tak panas, ada penghawa dingin, ada PPV yang tiada penghawa dingin.

“Bagi saya di sini sangat selesa, makanan juga disediakan untuk sukarelawan, ada air bila-bila boleh ambil, boleh berehat jika perlu, bertugas mengikut giliran

“Elaun RM100 sehari bagi saya ia sangat cukup dan memadai bagi saya, kerana ada sesetengah tempat dia tawar RM25 untuk tempoh enam jam sehari bekerja,” katanya.

Selain itu, MalaysiaGazette turut berkesempatan menemui seorang mahasiswa yang kini bertugas sebagai sukarelawan, Nurin Mohd Firuz, 19, yang melahirkan penghargaannya kepada kerajaan di atas pemberian tambahan elaun itu.

Nurin Mohd Firuz

“Kami amat teruja dan berbesar hati sebab kerajaan beri kenaikan ini, malah kerajaan juga menyedari kami berhempas-pulas selama ini dari pagi sampai malam.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan di atas kenaikan elaun ini,” katanya.

Selain mahasiswa, turut ditemui seorang kru kabin AirAsia, Muhammad Zulhilmi Shaharudin, 32, kini bersama-sama membantu orang ramai mendapatkan suntikan vaksin di PPV IDCC sejak sebulan lalu.

Muhammad Zulhilmi Shaharudin

Menurut Muhammad Zulhilmi, walaupun elaun itu hanya RM100 sehari, namun insentif itu sangat berharga buatnya yang kehilangan pekerjaan sejak industri penerbangan terjejas akibat Covid-19 sejak tahun lalu.

“Saya amat gembira dengan berita ini, bila kita melakukan tugas ini secara sukarela membantu negara, ia dapat menaikkan semangat kami untuk terus berbakti kepada negara.

“Insentif ini juga dapat membantu menampung kos sara hidup saya sendiri termasuk bayaran utiliti seperi bil air, elektrik dan telefon setiap bulan.

“Elaun ini juga penting sebab ada yang telah hilang pekerjaan, jadi insentif ini sangat membantu kami yang terjejas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette