KUALA LUMPUR – Penularan pandemik Covid-19 memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat di negara ini apabila ramai kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Perkara itu dialami sendiri Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Seri Ramesh Rao yang saban hari menerima panggilan daripada orang ramai meminta bantuan khususnya bekalan makanan dan perubatan.
“Saya amat sedih sebab macam-macam kes kita tengok, ada yang mati tak mampu beli keranda, ada yang mati sebab kebuluran, ada yang mati sebab kehilangan kerja, stress, malah gantung diri.
“Saban hari saya menerima panggilan, Datuk saya hilang kerja, Datuk rumah saya dilelong, Datuk kereta saya ditarik, Datuk kedai saya disita, Datuk saya terpaksa tutup perniagaan,” katanya kepada pemberita di sebuah restoran di Jalan Putra, hari ini.
Terdahulu Ramesh menyampaikan 20 bakul makanan berupa barang keperluan asas kepada beberapa keluarga asnaf fakir dan miskin di sekitar ibu negara.
Ramesh turut sebak apabila berkongsikan pengalamannya menguruskan kematian sepasang suami isteri yang tertekan selepas kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Minggu lepas, di Kota Raja, suami isteri bunuh diri dengan gantung, nak beli keranda pun tiada duit.
“Mahu tidak mahu bila dia (keluarga) telefon saya, saya sendiri uruskan mayat mereka mengikut tradisi India,” katanya.
Sejak PKP 1.0 pada Mac tahun lalu, beliau sendiri berjaya membantu hampir 3,000 keluarga di sekitar Lembah Klang dan negeri kelahirannya iaitu Perak.
“Program macam ini bukan kali pertama saya buat.. saya buat program seperti ini sejak total lockdown yang lepas.
“Hampir 3,000 keluarga saya dah bantu, di mana-mana sahaja, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak pun ada.
“Saya berpegang teguh di atas kefahaman kita kongsi rezeki, jadi menyahut seruan agama, menyuruh kita membantu semua,” katanya dengan nada sebak.
Susulan aduan rakyat itu, Ramesh menggesa orang ramai khususnya golongan berpendapatan tinggi untuk turut membantu kerajaan menangani masalah kebajikan rakyat.
“Saya mohon kerajaan lebih prihatin dan sensitif dengan masalah rakyat dan saya minta satu hab bantuan makanan di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya percaya di Parlimen dan DUN ramai orang kaya, jadi saya menyeru orang-orang kaya jangan lah kedekut, duit yang ada pada kamu tak boleh dibawa ke mana pun.
“Kalau kamu pergi (mati) pun kosong saja, jadi janganlah kedekut sangat, prihatin sikit. Ini bukan masa nak raih populariti dan nama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette