Presiden Nasional Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – “Ada kalanya kami (enam beranak) terpaksa berpuasa sahaja kerana tidak banyak makanan di rumah. Suami seorang sahaja yang bekerja,” kata Fauziah Ahmad.

Bagi suri rumah yang berusia 52 tahun itu, ia merupakan satu-satunya jalan penyelesaian untuk hari ini.

Bagaimanapun, wanita itu boleh mengukir senyuman apabila keluarganya mendapat sumbangan pada Progam Kasih Kenyang anjuran parti Gerakan berbentuk barangan keperluan yang boleh bertahan untuk sehari dua.

Penerima, Fauziah Ahmad, 52, ditemu ramah selepas menerima sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

“Alhamdulilah,” katanya yang tidak dapat menahan air mata mengalir di pipi.

Menurut Fauziah, anak-anaknya masih belajar dan mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan untuk meneruskan kehidupan di ibu negara.

Penerima, Santha Devi Subramaniam, 64 ditemu ramah selepas menerima sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

Sementara itu, Santha Devi Subramaniam dan suaminya baharu sahaja kehilangan anak bungsu yang mana mereka bergantung harap kepadanya.

“Saya ada seorang anak lelaku sulung tetapi dia sudah tidak bersama kami lagi selepas masuk Islam, hilang begitu sahaja. Saya ada seorang lagi anak perempuan dan menantu yang bantu apa yang boleh.

“Mereka juga ada anak-anak yang perlu ditanggung oleh mereka, jika tidak ada mereka, entahlah apa nasib kami. Suami saya juga sakit sejak kemalangan jadi sudah tidak ada pendapatan sendiri. Dulu kami kerja tukang bersih,” katanya dengan nada sebak.

Bagi menyara kehidupan wanita berusia 64 tahun itu akan bekerja di restoran untuk mencuci pinggan dengan pendapatan antara RM15 hinggga RM30 sehari bagi mengharungi kehidupan.

Penerima, Nuraina Fazrin Mohd Rafik, 24 ditemu ramah selepas menerima sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

Bagi pasangan suami isteri, Nuraina Fazrin Mohd Rafik, 24 dan Mohd Addarul Azwid Alias, 29, kehidupan mereka cukup susah lebih-lebih lagi apabila suaminya hilang kerja sebagai pemandu peribadi.

“Tinggal saya sahaja yang kerja sebagai penjual di farmasi Watson, ada anak-anak masih kecil. Mungkin untuk orang lain bantuan yang diberikan ini seperti beras, minyak, susu tin, bihun tidak seberapa tetapi untuk kami besar sungguh nilainya.

“Macam hendak nangis bila dapat bantuan ini. Terima kasih sangat, Allah sahaja dapat membantu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Penerima, Mohd Addarul Azwid Alias, 29 ditemu ramah selepas menerima sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

Mohd Addarul berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan akan berakhir dengan cepat dan tidak akan ada lagi perintah seperti itu kerana ia menyukarkan beliau mencari pekerjaan setelah kehilangan mata pencarian.

“Cepatkan Covid-19 ini berakhir. Kami takut dengan apa yang berlaku terutamanya keadaan ekonomi pada masa ini, kami ada anak-anak dan kehidupan miskin ini sangat menyeksakan,” jelasnya.

Penerima, Susis Raflis, 46, ditemu ramah selepas menerima sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

Dalam pada itu, bagi ibu tunggal, Sisis Raflis, 46, dengan empat orang anaknya yang masih belajar, mengharungi kehidupan sebagai B40 sememangnya begitu sukar dan perit.

“Nasib baik salah seorang daripada anak saya berniaga, dapat bantulah sikit. Kami cuba berharap keadaan ini akan berubah tidak lama lagi.

“Memang susah besarkan anak dalam keadaan seperti ini tapi kami masih mampu bertahan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast