Daging daripada ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) tidak membahayakan manusia dan boleh dimakan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Daging daripada ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) tidak membahayakan manusia dan boleh dimakan.

Ini kerana LSD tidak menjangkiti manusia, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Daging boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah di masak dengan
sempurna kerana virus LSD juga akan musnah pada suhu 65°C selama 30 minit,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kepada The Food and Agriculture Organization dan World Organisation for Animal Health, penyakit LSD bukan penyakit zoonotik dan tidak menjangkiti manusia sama ada secara langsung atau melalui daging.

Penyakit LSD yang disebabkan virus Poxviridae boleh tersebar dari ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan yang terjangkit.

Penyakit LSD telah memberi kerugian ekonomi yang besar kepada industri ternakan.

Justeru itu, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian kesihatan dengan meningkatkan pemantauan ke atas semua daging di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan termasuk sekiranya terdapat daging di pasaran yang berpenyakit dan tidak disembelih di rumah sembelih di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar.- MalaysiaGazette