Operasi pemeriksaan polis trafik IPD Kajang ke atas 15 penunggang motosikal berkuasa tinggi yangberkonvoi sebagai mengingkar sop PKP di Jalan Semenyih-Kuala Klawang berjaya dikompaun RM5,000 setiap seorang semalam.

KUALA LUMPUR – Tindakan 15 penunggang motosikal  berkuasa tinggi berkonvoi dan mengingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 akhirnya memakan diri.

Kesemua mereka yang ditahan  di Jalan Semenyih-Kuala Klawang dekat Kajang dan telah dikenakan kompaun oleh polis dalam satu sekatan jalan raya di kawasan tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas menerima maklumat terdapat kumpulan motosikal berkuasa tinggi menggunakan laluan tersebut sebagai litar motosikal untuk berlumba.

“Dalam operasi tersebut seramai 15 penunggang motosikal telah ditahan dan diperiksa sebelum mendapati mereka jelas melanggar SOP PKP yang dikuatkuasakan kerajaan sebelum dikenakan tindakan kompaun di bawah Sek.16 APPPPB(Pindaan 2021) atau Akta 342,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, kesemua penunggang motosikal itu telah dikenakan kompaun berjumlah RM75,000 iaitu RM5,000 setiap seorang atas kesalahan pengingkaran SOP.

Selain itu mereka turut dikenakan sebanyak 19 saman lalulintas membabitkan pelbagai jenis kesalahan dalam operasi tersebut.

“Kesemua penunggang motosikal terbabit adalah lelaki dan berusia di antara 18 dan 41 tahun. Operasi berkenaan akan dijalankan di lokasi spesifik ini dari masa ke semasa untuk memastikan tiada pelanggaran SOP PKP dan kesalahan lalulintas berlaku selepas ini sejak insiden perlumbaan motosikal berkuasa tinggi ini dikesan,” tegasnya.-MalaysiaGazette