KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengemukakan segera formula terbaik bagi menyerap pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.
Ini kerana pelanjutan kontrak mereka sehingga penghujung tahun 2022 bukan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka masa panjang sektor perubatan negara, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, kerajaan mesti mengemukakan penyelesaian tuntas terhadap masalah tersebut dan seruan ‘Hartal Doktor Kontrak’ di media sosial agar pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada 1 Julai ini mesti ditangani segera.
“Benar bahawa serapan ke jawatan tetap secara lazimnya berlaku bila ada kekosongan. Tetapi sistem kesihatan kita tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti terdahulu dengan jumlah perjawatan diperuntukkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada nisbah dan norma pra pandemik.
“Keadaan gawat waktu ini menuntut KKM merangka dasar dan keperluan guna tenaga yang lebih strategik dan mapan dalam primary care, kesihatan mental, pembangunan hospital dan prasarana perubatan, preventive health dan penyelidikan perubatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, pandemik membuktikan betapa sistem perubatan negara sangat memerlukan peningkatan dan pembaharuan radikal.
Ujarnya, negara memerlukan lebih banyak hospital, lebih ramai pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti walau dimana jua tanpa mengira kemampuan.
Tegasnya, tanpa perlu berkompromi dengan mutu dan standard, pengwujudan jawatan tetap yang lebih banyak dan pada kadar segera adalah keutamaan nasional.
“Justeru, saya menyeru kerajaan mengemukakan segera formula terbaik untuk menyerapkan pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.
“Kepada semua pegawai perubatan kontrak, jasa dan keringat anda sangat kami hargai. Kegelisahan, kekecewaan dan masa depan anda semua adalah keutamaan yang akan kami perjuangkan,” katanya. – MalaysiaGazette