KUALA LUMPUR – Sekarang bukan waktu yang sesuai untuk peniaga dan industri menaikan harga makanan dan perkhidmatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah ini hanya akan menambah beban kepada pengguna yang sememangnya telah terkesan dengan pandemik Covid-19.
Tambahnya, kementerian berkenaan perlu bertanggungjawab untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna dalam mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited bagi memastikan kelangsungan ekonomi domestik dapat berjalan dengan baik meskipun negara berhadapan dengan cabaran penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas permohonan beberapa syarikat dan industri yang berhasrat untuk menaikkan harga produk keluaran mereka.
Permohonan ini, ujar Alexander, melibatkan pelbagai jenis produk makanan dan bahan makanan serta barangan keperluan harian yang lain.
Justeru beliau menyeru semua pihak, termasuk komuniti peniaga dan pengguna, untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutamanya dalam menurunkan kes harian dan meningkatkan kecapaian imunisasi kelompok.
Dalam masa yang sama, kata Alexander, kementerian telah memohon kepada kerajaan untuk menyegerakan program imunisasi, khusus untuk barisan hadapan ekonomi supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila semua yang terlibat telah menjalani imunisasi sepenuhnya. – MalaysiaGazette