Sekumpulan lelaki ditahan kerana langgar SOP selain disyaki minum ketum di Penaga, Pulau Pinang semalam.

SEBERANG PERAI – Polis menafikan dakwaan tujuh lelaki ditahan kerana bermain futsal dalam tempoh Fasa pertama (I) Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdekatan sebuah gelanggang futsal di Guar Tuan Syed, Penaga di sini semalam.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor menegaskan, kesemua mereka ditahan kerana dipercayai melepak sambil minum ketum di lokasi berkenaan.

Noorzainy.

Jelas beliau, ketika serbuan dilakukan pada jam 6 petang, pihak polis mendapati sekumpulan lelaki berusia lingkungan 24 hingga 57 tahun sedang berkumpul tanpa memakai pelitup muka di bawah pokok berhampiran gelanggang berkenaan.

“Selain itu, siasatan lanjut juga mendapati kesemua mereka menjadi lokasi itu sebagai tempat melepak untuk minum air ketum.

“Selain itu, pemeriksaan turut menemui dua bungkus plastik berisi air ketum dalam motosikal salah seorang mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorzainy, kesemua individu terbabit ditahan bagi siasatan lanjut selain masing-masing dikompaun sebanyak RM1,500 kerana melanggar SOP PKP.

Kesemua mereka turut dikompaun RM1,500 setiap seorang.

“Manakala siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 turut dikenakan terhadap lelaki yang memiliki air ketum itu.

“Mereka bukan ditahan kerana bermain futsal seperti yang didakwa di media sosial sebaliknya kerana langgar SOP selain disyaki minum ketum,” kata beliau.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 23 saat yang memaparkan sebuah trak polis membawa sekumpulan lelaki yang didakwa ditahan atas kesalahan bermain futsal. – MalaysiaGazette