Ebit Lew berjaya memasuki Gaza.

KUALA LUMPUR – Rombongan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew akhirnya berjaya memasuki Gaza Palestin hari ini demi misi bantuan kemanusiaan.

Menerusi entri terbaharu di Instagram, Ebit memaklumkan rombongannya merupakan kumpulan pertama dalam dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas serangan baru-baru ini.

Jelasnya, kumpulannya diiringi masuk oleh tentera Mesir dengan kawalan keselamatan yang ketat sepanjang perjalanan.

“Mesir sendiri telah banyak memberi bantuan dan mengetuai dalam membangunkan Gaza. Ada lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia sedang memohon. Sebahagian ada di Mesir. Doakan mereka semua dimudahkan Allah supaya lebih ramai dapat dibantu,” katanya.

Berkongsi perasaan Ebit berkata, menjejakkan kaki ke Gaza seperti pulang ke kampung halaman kerana merasa dirinya terlalu dekat dengan rakyat Palestin.

“Mungkin dari kecil berdoa untuk rakyat Palestin. Kini dapat jejak kaki ke sini. Saya minta maaf tidak update sebelum ini atas faktor keselamatan. Terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent.

“Ramai berebut untuk menyambut. Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin. Sepanjang masuk border Rafah cuma kedengaran semua ajak minum makan dan ke rumah mereka. Terasa seperti keluarga yang sangat dekat,” ujar Ebit.

Pendakwah yang cukup terkenal dengan sikap dermawan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghubungi Presiden Mesir tentang kedatangan rombongannya.

Ia termasuklah Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang membantunya memudhakan perjalanannya dari Malaysia sehingga ke Gaza.

Selain itu, Ebit juga berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim banyak membantu dan turut menyumbang bersama dalam misi bantuannya kali ini.

“Terima kasih Wisma Putra, Datuk Ida Murni dan kedutaan besar Malaysia Mesir, Encik Shahabudin dan team yang sangat banyak membantu macam keluarga.

“Terima kasih DYAM HRH Crown Prince of Johor TMJ yang sangat banyak membantu dan turut menyumbang bersama. Terima kasih selalu bertanya khabar. Terima kasih juga kepada YAB PM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghubungi Presiden Mesir dengan menyebut tentang misi kami.

“Terima kasih Palestin Palestine Red Crescent society الهلال الاحمر الفلسطيني . Terima kasih Malaysian Red Crescent . Terima kasih Kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan,” tambahnya.

Untuk rekod, Ebit mula bertolak untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin sejak pertengahan Mei yang lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast